PENYANYI baharu berjiwa besar, Syed Iqbal tampil dengan buah tangan sulung berjudul Basstamam yang mengangkat tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup.
Lagu Pop Melayu-Arab ciptaan Amir Hufaz dan Wan Saleh dengan lirik nukilan Abdulkarim Al Ali serta Wan Saleh itu karya sarat emosi dan mesej positif selain mengetengahkan susunan muzik yang tenang dan meresap ke jiwa.
Menurut Syed Iqbal atau nama lengkapnya Syed Muhammad Iqbal Jamalullail, 24, ilham lagu itu hadir daripada keinginan untuk menyebarkan kegembiraan dan menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji.
Basstamam bermaksud baik-baik sahaja. Lagu ini dicipta sebagai penawar halus kepada insan yang berdepan tekanan emosi seperti stres, kebimbangan dan kemurungan.
“Kehidupan kita tidak sunyi dengan ujian. Bila nampak insan lain bergelut dengan tekanan, kita kena mendekati dan jadi pelindung dia.
“Saya sangat gembira kerana lagu ini dapat memberi manfaat kepada pendengar. Saya tidak mahu orang dengar lagu ini sambil bersedih,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar lagu Basstamam di Al-Sultan, Glenmarie, Shah Alam.
Sambung Syed Iqbal, individu yang melalui fasa gelap memerlukan perlindungan, harapan dan ketenangan malah kehadiran orang sekeliling mampu memberi impak besar kepada kehidupan mereka.
“Lagu ini ibarat pelukan emosi. Bila kita datang dan jadi pelindung kepada seseorang, dia akan rasa lebih selamat. Dia akan lupa seketika perkara yang membebankan fikiran.
Tak semua orang pernah alami, tapi kebanyakan kita pasti pernah rasa stres atau cemas. Ada yang fikir terlalu banyak sampai takut nak keluar rumah atau berinteraksi dengan orang. Jadi, melalui lagu ini saya cuba berikan jalan keluar kepada mereka.
“Mereka tidak keseorangan dan masih ada harapan. Pendengar dapat menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa ‘basstamam’ (lagu) itu dalam hati. Kita semua perlukan ketenangan. Itu yang saya cuba sampaikan melalui karya ini,” katanya kepada HibGlam.

SYED Iqbal bersyukur lagu dendangannya mendapat sambutan di Malaysia dan juga negara jiran.
Berkongsi lanjut, adik kepada pendakwah selebriti Da’i Syed Iqmal itu, berkata, dia mempunyai perancangan untuk terus menghasilkan lagu gabungan Melayu-Arab sebagai usaha mendidik masyarakat memahami bahasa Arab secara santai.
“Bila tiba waktunya, saya akan keluarkan lagi single yang menggabungkan lirik Melayu dan Arab. Pendekatan ini sebenarnya sangat bagus untuk masyarakat kita.Sekurang-kurangnya ramai boleh belajar dan faham sedikit-sebanyak bahasa Arab.
Kalau tak faham bahasa Arab, macam mana nak baca al-Quran dan zikir kan? Alhamdulillah, konsep ini diterima masyarakat Melayu serumpun, malah ada yang mula faham bahasa Arab melalui lagu-lagu seperti ini.
“Saya juga cuba kembangkan hobi berqasidah. Insya-Allah, kita juga bakal keluarkan versi penuh dalam bahasa Arab pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Iqbal turut menzahirkan rasa syukur kerana proses rakaman dan penggambaran video muzik (MV) Basstamam berjalan lancar dengan sokongan pasukan kreatif yang ikhlas dan berdedikasi.
“Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman tetapi lama-kelamaan saya dapat sesuaikan diri. Paling membanggakan, saya hanya ambil masa dua jam untuk siapkan rakaman lagu ini.
Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai petang tetapi dengan pasukan yang sangat menyokong, saya rasa sangat bersemangat untuk jayakan MV ni sehingga selesai.
“Semua yang terlibat dengan MV ini sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya amat hargai komitmen mereka,” katanya lagi.
Terdahulu, penyanyi yang tular dengan trend ‘Wahai Bulan Purnama’ itu bergiat aktif sebagai pendakwah bebas sebelum menandatangani kontrak dengan label Masyhur milik Universal Music Malaysia.
Istimewanya, Syed Iqbal turut mempersembahkan tarian marawis yang berasal dari Timur Tengah dalam lagu Basstamam kerana pernah belajar di Mesir selama lapan tahun.
Lagu Basstamam yang dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 30 Mei lalu turut mencuri perhatian pendengar dari Indonesia malah tular dalam media sosial.
Sekadar info, video muzik lagu Basstamam kini mencecah lebih 230,000 tontonan selepas 10 hari dimuat naik dalam platform YouTube. – HIBGLAM