SEKIAN lama status rumah tangganya menjadi bahan bualan ramai, Pelakon Aprena Manrose mengesahkan sudah bercerai dengan bekas suami, Mohd Afiq Hazman.
Tidak berkongsi secara terperinci perceraian tersebut, Aprena atau nama penuhnya, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 30, berkata, dia sudah berusaha mempertahankan rumah tangga namun berakhir dengan jalan buntu.
“Sedih pula bila skrol gambar bersama tetapi hakikatnya kita tidak lagi bersama.
Ya, saya bukan lagi isteri kepada Afiq. Kalau ada jodoh tak ke mana.
“Selamat tinggal untuk sekarang atau mungkin selamanya. Saya cuba, bertahan, usaha tapi saya gagal. Tiada lagi kita,” katanya dalam Instagram hari ini.
Meski berat untuk menerima realiti, Aprena berkata dia tetap mendoakan yang terbaik buat bekas suami selain meminta orang ramai dapat mendoakan kehidupan baharunya.
“Terima kasih atas rasa yang diberi. Rasa yang luar biasa. Semoga berbahagia.
Saya undur diri dulu. Kebelakangan ini banyak media yang telefon dan bertanyakan tentang status saya.
“Jadi, ini kenyataan saya. Doakan saya mengharungi fasa baharu ini dengan tenang ya,” tuturnya.
Terdahulu, keretakan rumah tangga Aprena kerap menjadi bahan bualan ramai terutama selepas mereka dilihat tidak meraikan Hari Raya Aidilfitri lalu bersama.
Mereka juga dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.
Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 12 November 2016. – HIBGLAM