‘Takut ada yang dendam, ibu tak izin sertai sukan kombat’

LAMBAT panas, barangkali itu frasa paling sesuai menggambarkan tahap ‘pecutan’ pelakon kacak bernama Ikmal Amry.

Biarpun sudah lebih sedekad menabur bakti dalam dunia lakonan, sinar popularitinya hanya benar-benar meledak beberapa tahun kebelakangan ini.

Memulakan karier seni pada usia 20 tahun, lelaki berusia 31 tahun itu mengakui hanya selepas sembilan tahun menapak barulah dia dipandang sebagai hero utama.

Paling mencuri perhatian, namanya semakin meniti bibir peminat selepas mencipta kemenangan dalam pertandingan Fury Championship menentang pelakon Hun Haqeem baru-baru ini.

Sukan kombat penuh risiko itu membuktikan bahawa Ikmal bukan sekadar pelakon biasa-biasa, tetapi figura berani yang sanggup mempertaruhkan fizikal demi keghairahan seni dan sukan.

Berpeluang menemu bual pemilik nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali itu, penulis sempat bertanya tidak takutkah dia menyertai pertandingan penuh risiko tersebut.

“Sejujurnya, saya tak rasa takut sebab saya jalani latihan bersama jurulatih yang benar-benar mahir dalam bidang ini.

Cara tahan tumbukan dan pulihkan kecederaan seperti bengkak pun ada kaedahnya. Selalunya, dua atau tiga hari saja dah kembali pulih. Asalkan tahu teknik dan cara kawalan, sukan ini tak bahaya.

“Lagi satu, saya yakin saya takkan tewas,” selorohnya disulami tawa kecil.

Menyertai sukan tempur yang mempunyai pelbagai risiko, pelakon From Saga With Love itu mengakui tidak mengambil insurans untuk wajahnya walaupun itu aset penting sebagai anak seni.

Katanya, selagi belum serius ke arah profesional, soal insurans bukan keutamaan.

Mungkin saya akan ambil insurans kalau betul-betul masuk ke arena profesional, macam pro boxing. Tapi buat masa ini, lawan pun artis juga.

“Kemungkinan untuk cedera teruk tu sangat rendah sebab kami bukan atlet sebenar. Jadi, tumbukan pun bukan tahap ganas atau berat. Saya tumbuk muka dia, dia pun tumbuk muka saya. Memang kami dah tahu risikonya,” ujarnya.

Bagaimanapun tidak semua berlapang dada, ada suara-suara sumbang daripada golongan profesional sukan terbabit yang memperlekehkan aksinya, namun Ikmal menerima kritikan dengan hati terbuka.

“Mereka ada hak untuk cakap begitu. Mereka dah jauh di atas dan bergelar profesional. Kami pula baru pertama kali bertarung. Wajar kalau aksi kami nampak kelam-kabut.

Tapi matlamat kami bukan nak tunjuk siapa paling hebat. Kami cuma nak angkat sukan kombat ni supaya lebih berkembang di Malaysia.

“Ramai pelakon sebenarnya berbakat dalam seni bela diri tapi belum ada platform. Harap selepas ini, lebih ramai tampil ke depan. Sukan ni ada potensi besar,” tegasnya.

Paling menyentuh perasaan kata bapa dua anak itu, selepas pertarungan ibunya tidak lagi merestui penyertaannya dalam acara sebegitu.

“Dia bimbang anak lelaki kesayangannya dicederakan atau didendami pihak lawan.

Lepas ini mungkin susah sikit saya nak sertai sebab mak memang tak benarkan. Dia risau dari awal lagi.

“Lepas tengok saya berlawan, dia terus cakap jangan buat lagi. Dia kata takut orang simpan dendam atau rasa tak puas hati. Jadi, saya kena patuh. Itu ibu saya,” dedahnya.

Berkongsi perkembangan terkini, Ikmal sedang sibuk mempromosikan filem Gantung: Musketeer Code, adaptasi daripada novel terlaris Gantung tulisan Nadia Khan yang mula menghantui pawagam sejak 5 Jun lalu.

Filem tersebut menyatukan ramai pelakon hebat seperti Ben Amir, Hafreez Adam, Brandon Salim dari Indonesia, Shazia Rozaini, Bront Palarae dan Sofia Jane. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok