‘Selamat hari bapa, terima kasih kerana tidak pernah hilang’

“TERIMA kasih menjadi bapa yang menakjubkan buat anak kita, Jebat Jayden Ahmad.”

Demikian antara ucapan bekas isteri pelakon Sharnaaz Ahmad iaitu Noor Nabila buat bekas suaminya sempena sambutan hari bapa hari ini.

Meski tidak lagi bergelar suami isteri, Noor Nabila menzahirkan rasa bangga dan kagum melihat pengorbanan Sharnaaz untuk menjadi bapa terbaik buat anak lelaki mereka, Jebat Jayden.

“Awak telah memberi sesuatu yang sangat berharga iaitu kasih sayang, konsisten dan membuatkan dia bangga tentang bapanya sendiri.

“Menjadi ibu bapa bersama awak bukan sekadar buat perkara yang betul sahaja tetapi kematangan dan memberi ketenangan hidup untuk Jayden.

“Untuk itu, syukur untuk kita berdua yang semakin matang dan bukan hanya sebagai ibu bapa tetapi juga kawan,” katanya dalam Instagtam hari ini.

Dalam hantaran sama, kakak kepada selebriti terkenal, Neelofa itu juga berterima kasih kepada Sharnaaz kerana sentiasa memainkan peranan sebagai bapa yang hebat dan menghabiskan masa untuk Jayden.

Noor Nabila juga sentiasa menganggap bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu sebagai keluarga walaupun ikatan suami isteri antara mereka sudah terlerai pada Julai 2020.

“Terima kasih kerana tidak pernah hilang, melunaskan peranan awak sebagai bapa dan membuatkan Jayden rasa dia memiliki ibu bapanya.

“Membesarkan Jayden adalah perkara terindah dalam hidup saya dan disebabkan itu, saya beri penghormatan tersebut kepada awak hari ini.

“Selamat hari bapa baba (panggilan Jayden kepada Sharnaaz). Semoga Allah SWT merahmati kehidupan dan hubungan awak dengan Jayden.

“Kita masih satu keluarga tetapi dalam ikatan yang berbeza,” ujarnya.

Sementara Sharnaaz dalam hantaran berbeza menghargai hubungan baik yang terjalin dengan Noor Nabila.

“Terima kasih Noor Nabila atas makan malam!

“Sangat hargai kepercayaan awak terhadap saya untuk menjadi seorang bapa. Terima kasih menjadi ibu yang hebat dan kawan baik!” ujarnya.

Untuk rekod, Noor Nabila dan Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga pada Mac 2017 sebelum disahkan bercerai pada Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok