Mendunia! Filem Indonesia Netflix terlaris

INDUSTRI filem Indonesia semakin menunjukkan taring di arena global khususnya platform penstriman gergasi seperti Netflix.

Pada tahun 2024 mencatatkan deretan naskhah Indonesia yang bukan sahaja berjaya di pawagam, malah turut mencuri perhatian jutaan penonton dalam platform digital.

Beberapa faktor yang telah menyumbang kepada perkembangan ini termasuklah kualiti produksi yang semakin meningkat, kepelbagaian genre dan keberanian bereksperimen serta platform digital yang menjadi pentas global.

Minggu ini HibGlam senaraikan filem Indonesia pada 2024 yang paling menonjol di Netflix.

The Shadow Strays (29 juta tontonan)

THE Shadow Strays berjaya menduduki tangga pertama sebagai filem Indonesia paling laris di Netflix.

Filem bergenre aksi-thriller ini mejadi fenomena sejak ditayangkan pada 17 Oktober lalu di Netflix.

Diarahkan pengarah muda berbakat besar, Timo Tjahjanto, filem ini meraih lebih daripada 29 juta tontonan di peringkat global.

Dengan latar cerita gelap dan aksi mendebarkan serta sinematografi bertaraf dunia, The Shadow Strays tersenarai dalam Top 10 Filem Bukan Bahasa Inggeris di Netflix pada minggu pertama tayangan.

Bukan sahaja mendapat sambutan hangat di Indonesia, filem lakonan Aurora Ribero, Hana Prinantina, Taskya Namya dan Mawar De Jongh itu tular di Malaysia, Thailand, malah menjadi kegilaan di Brazil.

Kabut Berduri (11.2 juta tontonan)

DI tangga kedua filem thriller psikologi, Kabut Berduri berjaya bikin penonton tidak senang duduk sepanjang tayangannya.

Dibintangi Putri Marino, Yusuf Mahardika dan Yoga Pratama, filem ini mencuri perhatian ramai menerusi jalan cerita sarat kejutan dan pengakhiran luar jangkaan.

Menurut data rasmi Netflix, Kabut Berduri ditonton sebanyak 11.2 juta kali.

Pencapaian ini sekali gus menunjukkan karya thriller terus menjadi penonton digital khususnya di rantau Asia Tenggara.

Agak Laen (5.7 juta tontonan)

FILEM komedi seram berjudul Agak Laen yang sebelum ini mencatat rekod 9 juta penonton di pawagam turut mencatat kejayaan besar di Netflix.

Diarahkan pelawak dari program Stand Up Indo iaitu Muhadkly Acho, filem ini meraih 5.7 juta tontonan.

Kejayaan Agak Laen membuktikan genre komedi seram masih menjadi tarikan utama masyarakat Indonesia.

Gabungan humor segar dengan elemen mistik menjadikan filem tersebut mudah difahami serta amat menghiburkan.

Ipar Adalah Maut (4.9 juta tontonan)

FILEM kekeluargaan Ipar Adalah Maut tidak kurang hebatnya. Mengangkat kisah rumah tangga yang penuh konflik dan kecurangan, karya ini berjaya meraih tontonan 4.9 juta.

Malah, filem yang diadaptasi daripada kisah benar ini mengatasi pencapaian di pawagam sekitar 4.7 juta tontonan.

Kekuatan jalan ceritanya yang dekat dengan realiti masyarakat serta lakonan hebat Davina Karamoy, Deva Mahenra dan Michelle Ziudith menjadikan filem ini hangat diperkatakan dalam media sosial.

Kereta Berdarah (3.5 juta tontonan)

Karya aksi-thriller Kereta Berdarah yang berlatarbelakangkan gerabak kereta api berada di tempat kelima.

Filem ini menyajikan ketegangan tanpa henti dari awal hingga akhir cerita dan berjaya menarik 3.5 juta tontonan di Netflix.

Dibintangi pelakon aksi terkemuka iaitu Zara Leola, Hana Prinantina, Fadly Faisal dan Agnes Naomi, lakonan mereka meraih pujian melambung penonton. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok