Sudah lah cantik, berhati mulia pula.
Itu antara reaksi netizen tatkala melihat gelagat pelakon dan peragawati terkenal yang membersihkan sebuah kawasan tanah perkuburan.
Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 54, telah membuat sesi siaran langsung dalam aplikasi Tik Tok sewaktu berada di tanah perkuburan.
Menurut Nasha, dia melihat terdapat banyak sampah di kawasan tanah perkuburan tersebut hasil daripada pelawat yang menziarahi pusara di situ.
Tengok mereka buang sampah merata-rata. Mereka bawa botol-botol air dan bunga untuk siram kubur arwah keluarga mereka, kemudian mereka campak sahaja.
“Tanah perkuburan ini dah jadi seperti tempat pembuangan sampah,” katanya dalam sesi siaran langsung tersebut.
Tambah pelakon filem Bara itu lagi, sambil-sambil dia berjalan untuk pulang ke rumah, dia membantu membersih kawasan tanah perkuburan tersebut.
Allah beri saya rezeki untuk menjadi cantik dan lawa untuk apa saya gunakan? Untuk saya berbakti Insya-Allah.
“Sambil-sambil saya catwalk nak turun bawah nak balik, saya tolong pungut sampah di sini,” kongsinya.
Sikap prihatin Nasha terhadap kebersihan kawasan tanah perkuburan telah menuai pujian netizen.
Rata-rata netizen kagum dengan peribadinya yang mulia biarpun dia merupakan seorang pelakon terkenal dan memegang status sebagai supermodel tersohor negara.
“Dasyat kesedaran yang dibawakan oleh Nasha. Dia membersihkan kubur secara rawak. Semoga sentiasa sihat,” komen netizen. KOSMO! ONLINE