Squid Game 3 penamat berdarah paling ngeri

KETIKA dunia masih dihantui jeritan dan percikan darah dalam dua musim terdahulu, Squid Game kini bersedia menutup tirai penderitaan itu dengan pengakhiran paling ngeri menerusi musim ketiga.

Disahkan menjadi musim terakhir, Squid Game 3 bakal menemui penonton di Netflix bermula 27 Jun ini, dengan konflik lebih kompleks dan permainan kejam yang menguji sempadan waras manusia.

Menurut penulis dan pengarah, Hwang Dong-hyuk, musim kali ini menyaksikan konfrontasi terakhir antara watak utama Seong Gi-hun dan Front Man, dua individu berbeza prinsip, namun terperangkap dalam sistem yang sama.

“Sudah lima tahun kami mencurahkan seluruh tenaga untuk mencipta naskhah ini. Dalam musim terakhir, Gi-hun percaya dunia boleh berubah, manakala Front Man anggap sistem sekarang lebih realistik. Perbezaan itu akan meledak dalam musim baharu ini.

“Musim ketiga adalah tentang pertarungan nilai dan maruah, bukan sekadar kelangsungan hidup.

“Saya mahu karya ini buat orang tertanya-tanya dalam perlumbaan kejam sistem kapitalis, adakah manusia masih mampu mencipta dunia lebih baik untuk generasi akan datang?” katanya kepada HibGlam ketika sidang media secara virtual, baru-baru ini.

SUTRADARA Hwang Dong-hyuk (tengah hadapan) bersama barisan pelakon Squid Game 3.– NETFLIX

Lebih menarik ulasnya, penonton akan diperkenalkan dengan beberapa permainan maut baharu termasuk kemunculan boneka gergasi bernama Cheol-su, pasangan kepada boneka ikonik Young-hee dari musim pertama.

Selain itu, musim ketiga turut menyuntik elemen kejutan dengan kemunculan watak-watak misteri termasuk seorang askar wanita dan pencipta sebenar permainan tersebut.

Squid Game 3 turut mengetengahkan watak-watak baharu seperti Myung-gi (Yim Si-wan), Dae-ho (Kang Ha-neul) dan No-eul (Park Gyu-young), masing-masing membawa misteri dan strategi tersendiri.

“Semuanya nanti akan lebih rumit, hidup Gi-hun hancur, malah semua percubaan untuk memberontak gagal. Maka, musim ini kita akan lihat, adakah dia akan terus berjuang atau tewas.

“Watak baharu pula akan memperlihatkan sisi lain dunia Squid Game. Kita akan faham siapa sebenarnya di sebalik semua ini,” kongsinya.

SQUID GAME musim akhir menyaksikan Seong Gi-hun berdepan tekanan yang lebih besar malah semangatnya semakin rapuh apabila percubaan menentang Front Man berdepan kegagalan.

Nilai kemanusiaan

Bagi aktor Lee Jung-jae yang memegang watak sebagai Gi-hun pula, naskhah tersebut bukan semata-mata tentang survival tetapi menyentuh hal kemanusiaan yang lebih mendalam.

Katanya, cabaran utama bukan pada permainan tetapi ketahanan jiwa Gi-hun yang kian rapuh.

“Saya tertarik dengan bagaimana naskhah ini menggabungkan tema besar dengan kisah-kisah kecil yang dekat di hati.

“Saya juga terharu apabila penonton dari pelbagai negara mengaitkan watak-watak dalam Squid Game dengan kehidupan sendiri.

“Drama ini dekat dengan dunia realiti, tentang pilihan, kesetiaan, pengorbanan dan harga sebuah harapan,” tuturnya

Sementara itu, menggalas watak Front Man, Lee Byung-hun menjelaskan kekuatan utama drama itu terletak pada mesej yang merentasi sempadan budaya dan politik.

“Sebab utama drama ini disukai di seluruh dunia adalah mesej yang dibawanya. Politik, masyarakat dan perjuangan manusia, semuanya bergema di setiap negara.”
“Tak kisahlah dari mana pun asal penonton, mereka faham maksud sebenar cerita ini. Setiap penonton rasa terwakili dan terkesan. Itu kekuatan sebenar drama ini,” tegasnya.

PERSOALAN siapakan di sebalik topeng dan perancang sebenar permainan maut itu akan terjawab dalam musim akhir ini.

Tiada musim keempat

Hwang mengesahkan tiada musim keempat dan menyifatkan jalan cerita telah pun sampai ke penghujung.

Pun begitu dia seolah-olah memberi bayangan bahawa akan ada filem spin-off, namun tetap menegaskan buat masa ini siri fenomena itu sudah berakhir.

“Saya tiada rancangan untuk musim keempat, Saya sudah ceritakan semuanya.

“Namun, saya didak menolak kemungkinan untuk cipta dunia baharu dalam bentuk filem atau spin-off.

“Namun, jangan berharap, buat masa sekarang inilah penamatnya,” tutupnya.

Dengan pertaruhan lebih besar, pertumpahan darah seiring prinsip yang semakin kabur, Squid Game 3 dijangka mengheret penonton ke dalam kancah permainan terakhir yang lebih kejam dan tiada belas ehsan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok