BUKAN semua filem buatan mat salih atau Hollywood itu berkualiti dan untuk menyokong penyataan tersebut, tontonlah karya terbaharu adaptasi siri buku Fear Street berjudul Fear Street: Prom Queen.
Kalau penulis dibenarkan berlaku jujur, Prom Queen yang merupakan adaptasi buku The Prom Queen (1992) adalah sebuah naskhah seram bernuansa slasher terburuk setakat pertengahan 2025.
Mujur sahaja filem ini diluncurkan dalam penstriman filem Netflix dan bukan di layar lebar.

FEAR Street: Prom Queen kini boleh ditonton menerusi laman OTT, Netflix.
Dari segi pengarahan, lakon layar dan terjemahan karakter, semuanya mengecewakan dan tidak keterlaluan jika penulis sifatkan sebagai antara naskhah paling ‘malas’ didokumentasikan dalam bentuk filem tahun ini.
Sebagai peminat filem bergenre slasher, Prom Queen ‘terduduk’ di bawah sekali berbanding tiga instalmen terdahulu Fear Street Part One: 1994, Fear Street Part Two: 1978 dan Fear Street Part Three: 1666.
Semua yang dipaparkan dalam Prom Queen ternyata tipikal, klise dan memberi pengkhianatan terhadap jenama Fear Street – Matt Palmer sudah melakukan jenayah besar selaku individu duduk di bangku pengarah.
Penulis secara peribadi tiada masalah dengan para pemain atau pelakon Prom Queen. Cumanya, apa yang merunsingkan adalah keberadaan mereka dalam perjalanan filem dibazirkan begitu sahaja tanpa ‘cengkaman’ sinematik menyeluruh.
Misalnya, watak Timbalan Pengetua Shadyside High School dimainkan Lily Taylor yang popular dengan filem The Conjuring dan The Haunting ‘dibiarkan’ begitu sahaja.

WATAK pembunuh misteri bertopeng yang mudah dijangka tindakannya dalam Fear Street: Prom Queen.
Begitu juga Chris Klien (American Pie) ‘dimatikan’ tanpa sebarang pengukuhan sebab munasabah. Kalau diberikan perlambangan semacam layang-layang belum sempat diterbangkan di langit biru tetapi benang atau talinya diputuskan dengan hirisan pisau.
Tidak cukup dua pelakon ikonik itu dibazirkan begitu, watak-watak utama juga seperti hilang arah tuju termasuklah Lori Granger lakonan India Fowler, Tiiffany Falconer (Finna Strazza) dan Christy Renault (Ariana Greenblatt).
Klise, sangat tipikal
Tiada masalah dari segi komitmen dan persembahan kesemua pelakon terlibat. Apa yang menjadi masalah adalah bagaimana perkembangan karakter masing-masing dicernakan produksi.

DUA watak utama dalam Prom Queen yang kurang memberi impak disebabkan plot atau jalan penceritaan yang dibentangkan pengarah, Matt Palmer.
Paling mengecewakan, naratif Prom Queen mudah dijangka. Dari awal sampai ke minit akhir filem, audiens sudah boleh memberi prediksi siapa pembunuh yang bertanggungjawab ke atas semua sembelihan atau kematian.
Natijahnya, tiada satu karakter pun yang melekat dalam minda, baik Lori Granger mahupun Tiffany Falconer, semuanya lesap dari fikiran sesudah menghabiskan tontonan.
Kendatipun, kalau ada antara pembaca tulisan ini yang tidak kisah dengan perjalanan cerita remaja wanita tertindas di sekolah atau kolej, sembelihan-sembelihan klise slasher Hollywood, visual kepala terpelanting dan tangan kudung berdarah akibat perbuatan manusia keparat bertopeng merah, Prom Queen mungkin memberi kepuasan.
Bagi penulis secara peribadi, filem ini mengecewakan dan selayaknya hanya ‘duduk’ di OTT Netflix.
Markah sedikit berdigit tanpa prejudis: 59/100. – HIBGLAM