PERSONALITI media sosial Indonesia, Thariq Halilintar menyambut kelahiran anak pertama yang diberi nama Ahmad Arash Omara Thariq di sebuah pusat perubatan di Indonesia, tengahari semalam.
Thariq atau nama lengkapnya Muhammad Thariq Halilintar, 26, memaklumkan isterinya, Aaliyah Annisa Jeffar Massaid, 23, selamat melahirkan bayi lelaki dalam keadaan sihat dan sempurna.
Kepada anak kesayangan kami Ahmad Arash Omara Thariq, Alhamdulillah akhirnya kamu berada dalam dakapan kami dengan keadaan sempurna dan sihat.
“Kamu adalah dari doa kami yang menjadi kenyataan, tanda rahmat Allah dan amanah kecil kami.
“Dengan ini kami memilih nama tersebut yang membawa maksud cinta, iman dan harapan,” katanya.
Thariq berkongsi perkara tersebut menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya.
Dalam pada itu, Thariq menitipkan doa agar cahaya matanya itu membesar menjadi anak yang baik dan disayangi ramai.
Semoga jejak langkahmu sentiasa mengikuti Rasulullah, semoga menjadi sumber berkat di dunia dan akhirat.
Terdahulu, Thariq dan Aaliyah mendirikan rumah tangga pada 26 Julai 2024.
Pada awal Januari lalu, Aaliyah memberi kejutan kepada peminat apabila memuat naik gambar memaklumkan dia sedang hamil anak pertama. – HIBGLAM