Deepika Padukone letak syarat bekerja 8 jam sehari

PELAKON terkenal Deepika Padukone menjadi topik hangat di Bollywood ketika ini kerana menetapkan had waktu kerjanya tidak melebihi 8 jam sehari sejak bergelar ibu.

Tuntutan itu dibuat Deepika sebagai sebahagian daripada syarat untuk dia membintangi filem Spirit arahan sutradara Sandeep Vanga. Selain had waktu bekerja, isteri kepada Ranveer Singh itu juga meminta bayaran sebanyak 20 crore (RM9.8 juta) beserta perkongsian keuntungan kutipan filem.

Deepika juga dikatakan tidak bersetuju dengan babak panas yang terdapat dalam skrip selain dia perlu melakonkan babak tersebut bersama aktor terkenal, Prabhas.

Terkejut dengan syarat-syarat yang dikemukakan, Sandeep bertindak melucutkan nama Deepika daripada membintangi filem tersebut dan posisinya digantikan dengan pelakon yang semakin meningkat naik, Tripti Dimri.

Tripti hanya menerima bayaran sebanyak 4 Crore (RM1.9 juta) untuk membintangi filem tersebut.

MELETAKKAN keluarga sebagai keutamaan, Deepika berpegang teguh dengan keputusannya hanya akan bekerja selama lapan jam sehari meski dipertikai Sandeep.

Menerusi hantaran dalam aplikasi X, tanpa menyebut nama sesiapa, Sandeep meluahkan rasa kecewa dengan situasi yang berlaku.

“Apabila saya bercerita kepada seorang pelakon, saya meletakkan kepercayaan 100 peratus. Terdapat NDA (Perjanjian Tanpa Pendedahan) yang tidak dinyatakan antara kami, tetapi dengan melakukan ini, anda telah mendedahkan siapa diri sebenar dan memandang rendah terhadap pelakon muda. Adakah ini maksud feminisme yang anda sering perjuangkan?

Sebagai pembikin filem, saya kerja keras bertahun-tahun untuk setiap karya yang saya hasilkan dan pada saya pembikinan filem adalah segala-galanya. Anda tidak mengerti.

“Ini adalah permainan PR (perhubungan awam) yang kotor,” tulisnya.

Deepika balas balik!

Deepika dikatakan membalas kenyataan Sandeep, namun secara berlapik dan tidak ditujukan secara terus kepada pengarah itu.

Menerusi temu bual bersama majalah fesyen terkenal di satu acara yang berlangsung di Denmark, Deepika berkata, dia sentiasa berpegang teguh pada prinsip dan setiap keputusan yang diambilnya.

“Saya rasa apa yang membuatkan kehidupan saya seimbang adalah dengan bersikap jujur dan sentiasa menjadi diri sendiri.

Setiap kali saya berhadapan dengan kesulitan, saya akan sentiasa mendengar kata hati dan ikut gerak hati saya dan berpegang teguh kepada setiap keputusan yang saya ambil.

“Ini benar-benar membuatkan saya berasa tenang dan membuatkan saya rasa seimbang,” katanya.

SANDEEP rasa tercabar dengan sikap Deepika dan meluahkan rasa kecewa terhadap aktres terkenal itu.

Topik waktu bekerja ini mula menjadi perdebatan di antara pemain industri di Bollywood. Beberapa selebriti terkenal juga mula bersuara dan berpihak kepada Deepika.

Saif Ali Khan misalnya menyokong had waktu bekerja ditetapkan tidak melebihi 8 jam sehari kerana baginya waktu diluangkan bersama keluarga amat penting.

“Saya benci bila saya pulang ke rumah selepas habis bekerja melihat anak-anak saya sudah tidur.

“Sebuah kejayaan adalah apabila anda dapat pulang ke rumah untuk habiskan 30 minit bersama anak-anak.

“Saya sentiasa pastikan diri tidak bekerja sewaktu anak-anak saya sedang cuti sekolah untuk luangkan masa bersama mereka,” katanya.

Pelakon dan pengacara, Neha Dhupia turut menyatakan sokongannya terhadap Deepika dengan bersetuju syarat-syarat yang ditetapkan oleh aktres itu.

“Ibu baharu perlukan sokongan dan pertimbangan. Sebaliknya kami sering dikecam kerana menuntut hak sabagai ibu yang bekerja.

“Sebagai seorang ibu yang bekerja, saya menyokong penuh tuntutan Deepika yang meminta agar diberikan waktu bekerja yang adil buat para ibu,” tulisnya dalam hantaran Instagram.

Bak kata pepatah, yang patah tumbuh, yang hilang berganti.

Selepas diumumkan tidak lagi menjadi sebahagian daripada barisan pelakon filem Spirit, Deepika mengumumkan dia kini terlibat dengan sebuah filem mega arahan pengarah Atlee Kumar berjudul AA22xA6 di samping pelakon terkenal, Allu Arjun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok