‘Cinta sejati datang ketika kita jadi diri sendiri’

SERING menunjukkan kebahagiaan sebagai sebuah keluarga lengkap hakikat di sebaliknya, Emma Maembong memendam 1,001 masalah.

Perceraian Emma dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar tahun lalu memang tidak dijangka apatah lagi berselang tidak lama sebelum pengumuman dibuat, baru sahaja mereka terlihat ceria meraikan hari jadi anak bersama-sama.

Pujian harus diberikan apabila kedua-duanya berusaha menjaga aib rumah tangga, mengunci mulut serapat-rapatnya, baik Emma mahupun Syazli, sekali gus perpisahan mereka tidak menjadi jenaka umum.

Malah, mereka juga bersatu hati menjaga hubungan demi kebaikan kedua-dua anak, Shariq Gabriel dan Shakil Aryan Shah yang sedang tumbuh besar.

EMMA lebih gemar menyimpan rapi kisah peribadi lebih-lebih permasalahan dalam hubungan dengan bekas suami untuk kebaikan mental anak-anak. – Penata gaya: ELMANDA

Ujar pemilik nama lengkap Fatimah Rohani Ismail, tidak pernah terdetik untuk melalui perceraian, namun meski berpisah, dia dan bekas suami bersepakat memberikan yang terbaik buat putera-putera mereka.

“Saya datang daripada ‘broken family’, seboleh-bolehnya saya tidak mahukan perceraian kerana tak baik untuk anak.

Bila lalui (perceraian) sendiri, kita tak boleh nak salahkan ibu bapa sebab memang susah nak ada satu ‘happy family’ atau perkahwinan yang sempurna. Saya sendiri tidak mahu anak rasa apa yang saya rasa.

“Saya nak bagi yang terbaik. Orang komen kami elok makan sekali, tidak mungkin nak bergaduh atau tunjuk marah.

Kami memang elok sebab tiada dendam. Saya dan bekas suami tahu perkahwinan kami tidak berhasil tetapi kami ada masalah yang tak boleh diselesaikan,” katanya kepada HibGlam semasa sesi temu bual eksklusif baru-baru ini.

Legasi membenci

Berkongsi lanjut, pelakon drama Seribu Tahun itu menceritakan situasi dibesarkan dalam persekitaran ibu bapa yang berpisah dan sentiasa mengharapkan dapat berkumpul satu keluarga besar.
Pengalaman lalu mendorongnya berbaik dengan bekas suami kerana enggan anak-anak berhadapan situasi sama.

“Saya membesar, ayah tak nak jumpa mama dan mama pun begitu. Bergaduh memang normal, bila berpisah tidak mahu berjumpa.

Anak-anak nak jumpa mak ayah kena asing-asing, jadi kami akan rasa sedih sebab kalau boleh nak satu keluarga bergambar sekali.

“Kebanyakan masyarakat kita yang daripada broken family, tahu sengsara hidup ibu bapa berpisah tetapi bila dah kahwin dan melalui benda sama, akan teruskan legasi membenci antara satu sama lain,” ujarnya.

BELAJAR daripada pengalaman, Emma yang datang daripada keluarga bercerai-berai enggan dua puteranya melalui kepedihan yang pernah dirasainya.

Dalam masa sama, wanita berusia 33 tahun itu memilih menyimpan rapi kisah peribadi supaya mental anaknya tidak terganggu semasa proses tumbesaran mereka.

“Rumah tangga saya bukan sempurna, banyak kali bergaduh tetapi lebih memilih untuk diam.

Saya nak jaga nama dan aib sama-sama sebab bila anak membesar tengok mak ayah berpisah, tak nak nampak tiada benda buruk terjadi.

“Di sekolah pun aman tidak kena bahan. Lagi pun anak-anak cepat besar, berita akan kekal dalam media sosial,” luahnya.

Cinta sejati

Tolak tepi perihal keluarga, penulis turut mengajukan persoalan percayakah tentang cinta sejati apa lagi selepas gagal dalam perkahwinan pertama.

“Cinta sebenar wujud kalau jumpa orang yang tepat dan cinta sejati datang ketika kita menjadi diri sendiri.

Paling penting kita akan seronok jadi diri sendiri dan boleh terima satu sama lain punya kekurangan.

“Kita juga akan melengkapi kekurangan pasangan,” tuturnya dengan sangat positif.

TIDAK serik dengan cinta, tinggal lagi Emma enggan tercari-cari siapakah lelaki yang bakal menjadi jodohnya.

Ditanya sekiranya sukar menemukan cinta sejati, wanita berdarah campuran Melayu-Inggeris itu percaya, jodoh tidak perlu dicari sebaliknya akan datang sendiri pada waktu tepat.

“Maksudnya bukan senang nak cari cinta sejati, ada yang senang, ada yang susah. Setiap orang berbeza, tak adil jika satu hubungan gagal, kita menghakimi semua orang sama.

Setiap orang berbeza, untuk saya kenapa nak cakap tidak perlu bercinta sebab dah serik. Cuma kita tak perlu mencari.

“Kalau ada jodoh, ada. Jodoh akan datang sendiri sebab kita akan bertemu ramai manusia, hanya kena bersabar,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok