Tiga kategori baharu AIM24 dipersoalkan

SELEPAS tiga tahun ditangguhkan, tahun ini Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) kembali dengan pelbagai penambahbaikan.

Antaranya, edisi kali ini bakal menyaksikan tiga kategori baharu diperkenalkan menjadikan keseluruhan 13 kategori dipertandingkan.

Kategori terbabit adalah Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik dan Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik.

Begitupun, ada yang mempersoalkan kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik diwujudkan pada AIM musim ini.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM ke-24, Rosmin Hashim berkata, kategori berkenaan diperkenalkan bagi mengiktiraf dan meraikan bakat tempatan yang berkolaborasi dengan pengkarya luar negara.

“Sebelum pengenalan kategori baharu ini, lagu Masing-Masing nyanyian Ernie Zaki tidak ada kategori yang boleh dipertandingkan.

Begitu juga dengan lagu Ara Johari, Menjaga Jodoh Orang Lain yang mendapat putaran yang banyak tetapi tidak boleh dipertandingkan kerana tidak dihasilkan komposer tempatan.

“Disebabkan banyak lagu yang tak dapat dipertandingkan kerana tiada kategori, tahun ini kita buka ruang buat komposer dan artis luar,” katanya ketika sidang akhbar, baru-baru ini.

MENURUT ROSMIN (kanan) Kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik diperkenalkan bagi mengiktiraf bakat tempatan yang berkolaborasi dengan pengkarya luar negara.

 

Rosmin turut memaklumkan kategori tersebut diwujudkan selepas muncul kesedaran tentang karya-karya luar negara dinyanyikan artis tempatan yang tidak diiktiraf.

Sebelum ini kita tidak ada kesedaran tapi sejajar dengan peredaran waktu, kita mula sedar banyak karya yang bagus-bagus tidak dapat dipertandingkan.

“Jadi kita buat pembetulan yang perlu untuk penganjuran acara besar kali ini.

“Lagipun sekarang banyak kerjasama penyanyi kita dengan komposer, mungkin selepas ini mereka pula boleh beri pengiktirafan pula kepada bakat kita,” ujarnya lagi.

Berkongsi lanjut, Rosmin yakin acara berprestij yang sangat diharapkan pengamal muzik tanah air tersebut tidak lagi ditangguhkan kerana pihak RIM sudah mengetepikan peruntukan untuk mengadakan AIM setiap tahun.

“Tidak mahu AIM lenyap, kami ahli RIM sebulat suara menggunakan royalti daripada kutipan royalti Public Performance Malaysia (PPM) untuk penganjuran acara itu.

Tanpa tajaan sekali pun AIM akan tetap diteruskan. Jika ada tajaan maka acara itu akan dibuat pada skala besar dan sekiranya tiada kita akan tetap buat tetapi secara kecil-kecilan saja.

“Apa yang penting AIM tetap diteruskan setiap tahun,” katanya lagi.

AIM merupakan acara anugerah muzik paling berprestij yang sudah lama bertapak di negara ini. Anugerah berkenaan telah mengangkat martabat seni muzik tempatan sejak 1993.

Dana Kandungan Kreatif (DKK) sebanyak RM700,000 menanti pemenang kategori utama di bawah My Creative.

Ada 11 kategori layak menerima hadiah kemenangan, dana DKK seperti Artis Baru Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Pop Etnik Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Terbaik, Album Terbaik dan Video Muzik Terbaik.

Selain itu, beberapa kategori utama lain adalah Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Kumpulan Terbaik, Kugiran Terbaik, Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem/Drama, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rap/Hip Hop Terbaik, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik dan Lagu Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara turut dipertandingkan.

AIM24 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025, pukul 9 malam dan akan disiarkan secara langsung oleh RTM selaku penyiar rasmi AIM24.

Selain itu, anugerah khas iaitu Anugerah Sri Wirama masih dikekalkan.

Pencalonan AIM24 dibuka untuk lagu dan album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang dikeluarkan di Malaysia antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024. Tempoh pencalonan dibuka hari ini dan berakhir pada Jumaat, 4 Julai, pukul 5 petang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok