Tertelan lebah, bekas suami Karisma Kapoor meninggal dunia

Malang tidak berbau. Barangkali itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan tentang kematian bekas suami aktres terkenal Bollywood, Karisma Kapoor iaitu Sunjay Kapur yang meninggal dunia selepas tertelan seekor lebah ketika bermain sukan polo di London.

Menurut laporan India Today, sengatan lebah di bahagian tekak mendiang telah menyebabkan berlakunya serangan jantung sekali gus meragut nyawanya.

Bantuan kecemasan telah diberikan segera sewaktu kejadian namun tidak mampu untuk menyelamatkan nyawanya.

Sewaktu kejadian, Sunjay, 53, yang juga pemilik pasukan polo Aureus sedang beraksi menentang pasukan lawan, Sujan milik taikun hotel Jaisal Singh.

Sunjay juga sempat memuat naik hantaran dalam media sosial mengucapkan takziah ke atas mangsa nahas pesawat Air India yang menggemparkan dunia semalam.

Setakat ini belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Karisma mengenai kematian bekas suaminya.

Sunjay merupakan seorang ahli perniagaan berjaya di India dan pernah berkahwin dengan Karisma pada 2003.

Namun pasangan ini telah sah bercerai pada 2016 selepas melalui pelbagai konflik rumah tangga yang mengejutkan seluruh industri Bollywood.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya maya iaitu Samaira, 20, dan Kiaan, 14. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok