Pelakon Azhar Sulaiman, 54, reda seandainya anak perempuannya iaitu Leona menjadi isteri kedua jika itu takdirnya.
Menurut Azhar sebagai bapa, dia hanya mahu Leona mendapat suami yang mampu menjaga puteri kesayangannya itu dengan baik dan boleh bergaul dengan keluarga.
Sebenarnya saya terbuka siapa sahaja pilihannya. Kalau ditakdirkan dia jadi isteri kedua pun, saya terima sahaja kerana itu takdir dia. Ajal, maut dan rezeki di tangan Tuhan.
“Jika kebahagiaan Leona adalah dengan hidup bermadu, jadi jalani sahajalah. Biar dia sendiri yang pilih siapa yang dia mahu jadikan suami. Kita sebagai orang tua kalau pilih pun, mungkin sebenarnya tak sesuai,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama Hilang Kasyorga, semalam.
Namun kata Azhar, dia tidak sewenang-wenangnya bersetuju dengan mana-mana lelaki kerana ada kriteria yang perlu dipenuhi.
“Saya tak perlukan menantu kaya pun. Saya cuma perlukan menantu yang boleh jaga anak saya dan sekurang-kurangnya lelaki tersebut ada diploma atau ijazah. Kalau tak ada duit sekarang tak apa. Tapi pelajaran akan membantu dia di masa hadapan.
Sewaktu saya bercinta dengan Chempaka dulu, perkara pertama yang bapa dia tanya saya adalah saya sedang buat apa. Saya beritahu saya sedang belajar di ITM Shah Alam dan bapa dia izinkan saya keluar dengan Cempaka kerana saya belajar.
“Kalau saya tak belajar Chempaka kata mungkin bapa dia tak izinkan kami berkawan. Sekarang saya faham, sebagai bapa kita hanya mahukan yang terbaik untuk anak.
Ditanya adakah mana-mana lelaki atau pihak yang meluahkan keinginan untuk menjadi menantunya, kata Azhar dia banyak terima pertanyaan tersebut.
Ramai yang bertanya. Ada juga imam-imam muda di masjid yang bertanya. Ada juga yang bertanya untuk anak mereka atau kawan-kawan mereka,” kongsinya.
Terdahulu Leona atau nama lengkapnya Kasih Iris Leona pernah mendedahkan dia meminati lelaki berusia dan tertarik dengan lelaki warga asing berketurunan Sepanyol. -HIBGLAM