Gegar 40 pawagam Indonesia, Blood Brothers raih respons luar biasa

PENGARAH Blood Brothers: Bara Naga iaitu Syafiq Yusof terharu dengan sambutan hebat penonton Indonesia terhadap filem arahannya itu yang mula ditayangkan di sana bermula 11 Jun lalu.

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd. Syafiq Mohd. Yusof, 33, berkata, sambutan Blood Brothers amat berbeza berbanding filem Sheriff: Narko Intergiti yang gagal menambat audiens republik itu tahun lepas.

“Untuk kutipan hari pertama, saya masih belum dapat jumlah sebenar tapi Blood Brothers lebih baik berbanding Sheriff.

Tapi, bukan kutipan yang saya runsingkan tapi respons penonton. Dulu masa masuk Indonesia, promosi yang kurang sebab Indonesia  negara yang besar. Kali ini kita buat betul-betul (dari sudut promosi).

“Setakat ini, apa yang kami usahakan di sana menampakkan hasil dan paling penting ramai yang bahaskan filem ini di Indonesia. Saya sendiri pelawa orang sana, kritiklah filem saya. Tolong berlaku jujur dengan filem ini,” katanya kepada HibGlam pada tayangan filem animasi Jumbo, malam tadi.

Kata Syafiq, diharapkan usaha yang dicernakan menerusi Blood Brothers akan terus memajukan industri seni perfileman tanah air.

Semoga Malaysia dan Indonesia saling bertukar idea. Filem Indonesia masuk ke Malaysia sejak 2024 hingga 2025 lebih kurang 100 naskhah, sementelah filem kita ke sana kurang lima karya.

“Sebab itu, kita perlu seimbangkan. Perlu sentiasa promosikan filem tempatan di sana dengan menghadirkan filem-filem berkualiti,” jelasnya lagi.

Syafiq juga memaklumkan jumlah pawagam yang berminat untuk menayangkan Blood Brothers sangat memberangsangkan berbanding Sheriff tahun lalu.

Sheriff dulu saya tak pasti tapi Blood Brothers setakat ini ditayangkan di 32 pawagam. Kalau dulu hanya di CGV, sekarang Flix Cinema berminat tayangkan. Saya dengar Sabtu Ahad mereka akan tambah lagi mungkin 40 panggung wayang di sana,” katanya.

Blood Brothers arahan bersama dengan Abhilash Chandra kini merupakan filem tempatan kedua terlaris sepanjang zaman dengan kutipan RM76 juta di belakang Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97.4 juta).

Tahun lalu, Syafiq mencuba nasib di Indonesia dengan filem Sheriff, namun tidak mendapat sambutan dan respons menggalakkan peminat sinema di sana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok