Ucapan puitis Syed Saddiq untuk ibu Bella buat netizen cair

TINDAKAN Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq menyampaikan ucapan puitis kepada ibu Bella Astillah sempena ulang tahun kelahirannya membuatkan hati netizen berbunga-bunga.

Menyifatkan Siti Zarina Astillah, 49, sebagai wanita besi, Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, berterima kasih kepada wanita itu kerana menjadi peneman dan cahaya buat Bella.

“Dalam setiap senyuman, cinta kekal bersemi. Kamu membentuk hati dengan seribu erti, melalui diam yang tabah dan lembut yang berseri.

“Daripada siang yang terang hingga malam yang gelita, terima kasih kerana sentiasa menjadi bintang. Kamu juga menjadikan dunia Bella lebih bercahaya.

“Selamat hari lahir buat wanita besi versi original yang melahirkan lebih ramai wanita besi yang lain,” katanya dalam TikTok.

Tambah Saddiq, kejayaan seseorang anak tidak mungkin terjadi tanpa dokongan seorang ibu yang tabah.

“Tanpa kasih sayang seorang ibu, mustahil untuk anak-anak berjaya,” ujarnya.

Momen tersebut bukan sahaja mengundang senyuman keluarga Bella, malah mencairkan hati netizen yang rata-rata memuji tindakan tokoh muda itu.

“Ucapan penuh makna. Kalau untuk ibu pun begini, kalau kahwin nanti entah macam mana puisi dia,” komen netizen.

“Syed Saddiq ni bukan sekadar ada rupa, tapi penuh adab dan tahu menghargai orang,” ujar pengguna media sosial.

“Budiman sungguh. Bella bertuah,” demikian komen peminat.

Fenomena gandingan antara Bella
Astillah-Syed Saddiq sehingga disebut sebagai BASS masih lagi menjadi perbualan ramai dalam media sosial termasuk sehingga ke Korea Selatan.

Sejak itu, gerak-geri mereka kerap diperhatikan, lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya sering dilihat memakai baju sedondon pada musim perayaan.

Malah terbaru, mereka juga didakwa sudah bertunang tetapi masing-masing mengakui buat masa ini hanya fokus terhadap kerjaya dan keluarga.

Hubungan mereka kekal menjadi teka-teki namun bagi ramai pihak, tindakan menghargai ibu Bella itu sendiri sudah cukup membayangkan keseriusan niat Syed Saddiq terhadap insan tersayang. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok