‘Tertarik berlakon kerana Fajar Bustomi, mesej positif dalam filem’

PAKAR motivasi tersohor, Datuk Profesor Dr. Muhaya Mohamad mengakui pembabitannya dalam filem Indonesia, Keajaiban Air Mata Wanita berlaku tanpa dirancang.

Menurut penulis buku Rahsia Magnet Rezeki itu, Ustaz Nasrullah yang juga penulis skrip mempelawanya untuk muncul sebagai ‘cameo’ dalam filem arahan Indra Gunawan itu meski pada awalnya merasakan permintaan tersebut sedikit sukar untuk dipenuhi.

“Setahun lalu, Pak Nas (panggilan Nasrullah) beritahu dia ingin hasilkan sebuah filem dan mahu saya berlakon sekali dalam filem ini.

Kemudian Pak Nas beritahu antara yang terbabit untuk naskhah ini adalah Fajar Bustomi yang buat filem Buya Hamka, itu yang saya tertarik,” katanya pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem Keajaiban Air Mata Wanita di sini, semalam.

Tambahnya, kemunculannya dalam filem tersebut juga tidak bergantung kepada skrip.

“Saya boleh kata perkara ini tak dirancang langsung, malah skrip juga tidak ada dalam perancangan.

Bila produksi datang ke rumah saya, mereka terus mulakan penggambaran. Semuanya terjadi secara spontan tanpa ada skrip pun,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Muhaya yang juga pakar bedah mata terkenal berkata, antara sebab dia terbuka untuk menerima pelawaan itu kerana melihat mempunyai mesej positif boleh disampaikan kepada penonton.

“Saya sokong usaha Pak Nas yang mahu menyampaikan mesej positif menerusi filem. Semua ini bagus untuk mempengaruhi pemikiran seseorang dan memerlukan tiga kaedah iaitu visual, auditori dan emosi.

Perhatikan dalam semua filem, apa sahaja yang orang tonton dengan emosi memang akan serap dalam jiwa.

“Semua adegan berceramah dan penyampaian ilmu dalam filem ini akan diserap penonton tanpa sedar,” tuturnya.

Keajaiban Air Mata Wanita yang akan ditayang bermula 19 Jun depan di pawagam seluruh negara membariskan pasangan pelakon popular Indonesia, Citra Kirana dan Rezky Aditya.

Sebelum ini, filem berkenaan sudah ditayangkan di Indonesia pada 23 Januari lalu dan meraih sambutan hangat di sana. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok