PENYANYI dan pelakon Bella Astillah memohon maaf sekiranya konten media sosial bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq termasuk gelagat mesra mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Menurut Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, semua yang dipamerkan adalah atas tuntutan kerja namun mengharapkan doa yang terbaik daripada orang ramai.
“Saya pun tak mahu cakap lebih-lebih sebab ada hati dan imej keluarga yang perlu kami hormat.
Kepada semua yang selalu nampak kami bersama, minta maaf kalau ada yang kurang senang.
“Semua itu adalah kolaborasi yang kami perlu selesaikan termasuk kerja dari klien dan siaran langsung bersama,” katanya pada majlis pelancaran single terbaharunya, Lebih Indah Berpisah, hari ini.
Dalam masa sama, dia berkata, reaksi Syed Saddiq dalam semua konten media sosial adalah bersifat semulajadi dan bukan lakonan.
“Umum tahu dia bukan pelakon dan pastinya semua yang ditunjukkan dalam video adalah spontan.
Semua yang kami lakukan adalah atas tuntutan kerja tetapi kami tidak ditekan (klien) untuk buat lakonan atau sebagainya, itu sahaja yang saya boleh cakap,” jelasnya.
Tambah Bella, dia juga enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan menjalin hubungan cinta dengan Syed Saddiq sehingga mencetuskan fenomena BASS (Bella Astillah-Syed Saadiq).
“Kalau nak ulas tentang hal perhubungan, sebenarnya segan sebab saya wanita bahkan sudah ada dua orang anak.
Nak cakap lebih-lebih pun rasa kurang manis, Mungkin kedengaran klise tetapi doakan yang baik-baik sahaja,” jelasnya.
Mengulas lagu terbarunya, Bella berkata karya ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia, Ade Govinda sangat istimewa kerana dekat dengan kisah hidupnya.
“Saya ingin lagu ini diterima dengan baik dan menjadi karya yang menemani sesiapa sahaja yang sedang melalui fasa sukar dalam kehidupan mereka terutama jika melalui fasa perpisahan,” katanya lagi. – HIBGLAM