PERTAMA kali berpadu suara menerusi rakaman single duet Kisah Paling Kecewa, baik Ernie Zakri mahupun Anggi Marito, masing-masing sangat mengagumi antara satu sama lain.
Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, sebuah album dinamakan Sahabat bakal diluncurkan hujung tahun nanti dan Anggi adalah penyanyi pertama disatukan dengannya dalam projek diskografi berkenaan.
“Dalam album Sahabat nanti menampilkan sahabat-sahabat saya. Sahabat pertama saya ialah Anggi Marito.
Apabila idea ini diberikan kepada Universal Music Indonesia, mereka terus cadangkan nama Anggi. Waktu itu, namanya sedang ‘booming’ dengan lagu Tak Segampang Itu.
“Saya terus tak cakap panjang dan terus setuju kerana pastinya, ini peluang baik untuk lebarkan sayap di Indonesia,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran lagu tersebut di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya, baru-baru ini.

SALING memuji, Ernie dan Anggi masing-masing berasa cukup bertuah dapat berduet dalam sebuah lagu yang diharap melancarkan pengaruh mereka di hati peminat silang negara.
Keserasian
Kata Ernie, waktu pertama kali bertemu Anggi, mereka tidak punya waktu panjang untuk berborak, sebaliknya sekadar bertegur seketika dan terus ke studio rakaman.
Tempoh bertemu pun tak lama. Saya datang dari Kuala Lumpur, borak-borak, ‘makan siang’ dan terus masuk studio rakaman.
“Dengan adanya Anggi di sebelah, saya bersyukur kerana dia seorang ‘partner’ yang sangat best. Kalau cakap tentang vokal, memang terang-terangan dia sangat hebat dan saya terharu sebenarnya dia setuju untuk projek ini,” kata Ernie.
Melantunkan kembali apresiasi yang sama, Anggi pula mengakui sememangnya sangat meminati nyanyian Ernie, terutama selepas lagu Masing Masing menjadi siulan ramai di Indonesia.
Ernie vokalis yang sangat powerhouse. Waktu mula-mula, buntu juga bagaimana ingin ‘menyatu’ (dari segi vokal). tapi mujur ada pengarah vokal (di Jakarta).
“Dapat peluang berkolaborasi dengan Ernie bikin saya takut dan senang pada masa sama.
Tapi, setelah bertemu kami mudah sekali dapat keserasian. Mungkin juga status kami sebagai isteri dan ibu memudahkan urusan sinergi.
“Sejujurnya, saya tahu tentang kehebatan Ernie menerusi Masing Masing dan kebetulan, kita banyak ‘mutual friends’.
“Saya seringkali tengok dia dalam media sosial. Sudah dengar nama, lagunya dan sudah tahu orangnya,” ungkap Anggi.

ANGGI memasang impian untuk berduet dengan Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini selepas ini.
Lagu hit solo Indonesia
Mengulas tentang fenomena Masing Masing yang membuka jalan buatnya dikenali di tanah republik tersebut, pemenang dua kali trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) itu sedar perjalanan seninya masih panjang, namun bersyukur atas segala rezeki.
Masing Masing banyak membuka pintu dan ruang buat saya di Indonesia.
“Nak kata sudah mencapai tahap seperti mana Siti Nurhaliza, belum lagi, tetapi saya masih berusaha ke jalan itu.
Buat masa sekarang, kalau ada peluang berkolaborasi dengan artis-artis di sana, insya-Allah saya sentiasa terbuka.
“Saya pun bukan muda lagi dan ini adalah waktu paling tepat untuk melebarkan sayap dan syukur, peminat-peminat di sana (Indonesia) sangat mendukung,” kata Ernie.
Ditebak hanya dikenali menerusi lagu kolaborasi atau duet di Indonesia, isteri kepada penyanyi Syamel itu sentiasa mengharapkan suatu hari nanti akan ada lagu solonya diterima di sana, sama seperti penyanyi senior Malaysia lain iaitu Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid.
“Bagi saya begini, kalau nak masuk rumah orang, kita bawa tuan (rumah) dan kita adalah tetamu.
Kalau ada ruang dan rezeki, saya memang nak ada lagu hit solo di sana dan apa yang saya buat sekarang (berkolaborasi) adalah usaha ke arah itu termasuk nanti menerusi album Sahabat.
“Insya-Allah saya usaha dan yang lain-lain kita serahkan pada Allah SWT,” ujarnya lagi.
Senada dengan Ernie, Anggi juga ingin terus membina nama di Malaysia dan dalam masa sama, dia juga mahu terus mengekalkan momentum di negara kelahiran, Indonesia.
“Di Indonesia ramai sekali pemuzik baharu. Munculnya mereka bukan hanya satu atau dua, bahkan 10 atau 20 orang.
“Menurut saya, paling sukar adalah untuk mengekalkan momentum.
Kalau mahu, pastikan kita hadir dengan karya-karya yang bermutu supaya orang tetap ingat.
“Saya bimbang nak terus fikir apa yang harus dibuat pada masa akan datang. Cara saya buat sahaja sehabis baik dan jangan sampai orang lupa keberadaan kita,” jelas Anggi menggulung perbualan. – HIBGLAM