‘Harap jumpa lagu baharu setanding Bukan Lagi Kita’

PENYANYI Nadeera Zaini mengakui ada peminat yang sudah mula bosan kerana dia sering menyanyikan lagu Bukan Lagi Kita di setiap acara.

Menurut Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 32, dia sendiri ada baca komen netizen dalam media sosial.

“Saya ada terbaca komen netizen kata Nadeera ni tak ada lagu lain ke? Asyik lagu yang sama sahaja.

“Namun begitu masih ada ramai peminat saya yang nak dengar lagu Bukan Lagi Kita.

Janganlah bosan dengan lagu Bukan Lagi Kita. Harap saya akan jumpa lagu baharu yang setanding dengan lagu Bukan Lagi Kita,” katanya ketika ditemui di Big Stage Alpha Showcase, yang berlangsung di Pavilion, semalam.

Bukan Lagi Kita bukan sahaja menjadikan juara Big Stage musim kelima ini semakin dikenali ramai, malah lagu ciptaan Hael Husaini itu turut menjulangnya sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-33.

Kata Nadeera, dia agak risau sekiranya lagu baharunya nanti tidak mendapat sambutan sehangat lagu Bukan Lagi Kita.

Setiap lagu itu ada rezeki tersendiri. Kita tak tahu nasib sesebuah lagu itu macam mana.

“Apa yang saya harapkan adalah doa dan sokongan peminat untuk lagu-lagu saya yang seterusnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nadeera baru sahaja selesai mengadakan showcase solonya yang berlangsung di PJ PAC baru-baru ini. Seterusnya dia akan terlibat dengan konsert sulung Hael Husaini pada Ogos depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok