PENYANYI dan aktivis kemanusiaan Caprice seolah-olah memberi bayangan gerangan rapper yang dipercayai ditahan pihak berkuasa Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja sebanyak 103 bungkusan ke Jerman menerusi hantaran terbaharu dalam Instagram.
Dalam hantaran terbabit, Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, 37, memuat naik tangkap layar hantaran laporan berita kes terbabit dengan berlatar muzik lagu dendangan kumpulan Forceparkbois berjudul Lotus.
Menerusi ruangan komen, Caprice menjawab komen netizen yang terkejut dengan berat dadah yang cuba diseludup.
86 kilogram (kg) ah ghisau. Dah agak dah, semalam dia buat live bukan main ramai masuk,” demikian komen netizen.
Caprice kemudian membalas komen terbabit dengan menulis: “Gila berani. Idea siapalah ini.”
Dalam pada itu, Caprice menafikan tuduhan seorang yang sewenang-wenangnya menuduh dia adalah gerangan penyanyi rap yang diberkas dengan memberi jawaban sarkastik.
“Ya, memanglah saya boleh taip (balas komen) dari Laos dalam penjara.”
Terdahulu, seorang penyanyi rap tempatan antara tiga rakyat Malaysia dipercayai ditahan pihak berkuasa Laos atas dakwaan cubaan menyeludup dadah jenis ganja ke Jerman.
Berdasarkan foto yang dikongsi media Laos dipercayai salah seorang suspek itu adalah anggota kumpulan rap yang berasal dari Johor Bahru.
Kesemua suspek ditahan sejak 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay menerusi operasi yang dilakukan pegawai kastam dan pihak keselamatan selepas mendapati tiga individu terbabit menimbulkan kecurigaan semasa prosedur pemeriksaan dijalankan.
Hasil pemeriksaan terhadap enam beg bagasi milik suspek, pihak berkuasa menemui 103 bungkusan ganja yang disembunyikan dalam bagasi berkenaan dengan anggaran berat kira-kira 86 kg.
Difahamkan ketiga-tiga suspek sedang bersedia untuk menaiki penerbangan Thai Airways dalam perjalanan ke Jerman sebagai destinasi akhir penghantaran dadah tersebut.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa suspek kini dalam tahanan dan akan menghadapi pendakwaan mengikut prosedur undang-undang Laos.
Rampasan terbaharu ini berlaku susulan beberapa kejadian penyeludupan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay sejak kebelakangan ini. – HIBGLAM