’Memang mulut saya senget, kalau sempurna mungkin jadi sombong’

PENYANYI Ina Naim membidas tindakan seorang individu memperlekehkan bentuk mulutnya yang didakwa kelihatan tidak normal.

Ina atau nama lengkapnya Nordiana Mohd. Naim, 40, berkata, dia tidak ambil pusing penghinaan yang dilemparkan tetapi lebih mementingkan penerimaan Allah terhadap setiap amalan baiknya.

Menurutnya, dia menganggap kekurangan diri sebagai perkara positif untuk menjauhi sikap sombong.

Memang mulut saya senget, kenapa ada yang tidak berpuas hati? Mulut senget tidak mengapa asalkan mulut ini sentiasa berzikir dan ingat Tuhan.

“Kalaulah saya sempurna, mungkin saya akan menjadi sombong jadi inilah asbab kenapa Allah jadikan manusia pasti ada kelemahannnya sendiri,” katanya.

Selain itu, Ina tetap memaafkan individu berkenaan dan menasihatinya untuk tidak menghina ciptaan Allah.

Katanya, sebagai seorang hamba-Nya, adalah lebih baik untuk bersyukur dengan setiap kurniaan yang diberikan.

“Saya maafkan dia, tetapi saya mahu bagi sedikit nasihat kepadanya.

“Terimalah apa yang Allah bagi nanti di sana (syurga), minta lah segala kecantikan.

“Di dunia ini, jangan hina orang dan bersyukur dengan apaa yang Allah telah kurniakan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ina berkahwin dengan Suhaimi atau Mohd. Suhaimi Saad, 43, pada 12 Ogos 2007, namun Allahyarham meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hasil perkongsian hidup selama 16 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok