KJ bangga inovasi Malaysia mampu tawan pasaran global 

POLITIKUS dan juruhebah Hot FM, Khairy Jamaluddin menyifatkan kebangkitan produk tempatan berinspirasi gaya hidup moden sebagai bukti Malaysia memiliki potensi besar menembusi pasaran global dengan lebih berani dan beridentiti.

Khairy yang mesra disapa KJ, 49, berkata, kejayaan menghasilkan produk minuman dalam bentuk serbuk 3 dalam 1 seperti Tealive membuktikan jenama Malaysia mampu melangkah jauh tanpa bergantung kepada model perniagaan konvensional.

“Perjalanan daripada kiosk ke rumah pengguna bukan sekadar evolusi perniagaan, tetapi perubahan budaya.

“Kita bukan sahaja menjual minuman, tetapi mengeksport gaya hidup dan mencerminkan siapa kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada HibGlam.

Menurut bekas Menteri Kesihatan itu, produk tersebut melambangkan inovasi pintar yang memahami keperluan rakyat yang mahu sesuatu yang pantas, mudah dan masih mengekalkan rasa berkualiti tinggi.

Tambahnya, inisiatif tersebut bukan hanya tentang jualan atau keuntungan, tetapi lebih kepada membentuk pemikiran pengguna agar memilih produk buatan negara sendiri.

“Kita perlukan lebih banyak jenama Malaysia seperti ini, berani ke hadapan dengan rasa bangga dan autentik.

“Menyokong produk tempatan bukan sekadar semangat patriotik, tetapi menyokong impian, pekerjaan dan masa depan ekonomi negara.

“Ayuh kita buat pilihan dengan lebih bijak dan sokong inovator yang membentuk wajah Malaysia masa depan,” ujarnya pada majlis pelancaran produk minuman baharu Tealive, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di IOI City Mall menyaksikan pelancaran produk minuman dalam bentuk sachet oleh jenama gaya hidup terkenal, Tealive, yang kini memperluas rangkaian mereka ke segmen lebih praktikal.

Antara yang diperkenalkan termasuk variasi teh susu, kopi dan coklat, selain kemunculan semula siri Bang Bang dengan tekstur lebih berkrim, serta pilihan premium seperti Da Hong Pao dan Snowy.

Dengan pelancaran tersebut, produk jenama berkenaan bukan sahaja mampu dinikmati di premis mereka, malah boleh dibawa ke mana-mana menjadikan lebih dekat dengan rakyat. – HIBGLAM.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok