‘Kau suka raba, rasa diri perempuan padahal lelaki tua!’

SERIK dianiaya kenalan, penyanyi Rezza Shah kini memilih untuk menguruskan kerjaya seni sendiri tanpa bantuan orang lain.

Menerusi hantaran dalam Instagram, Rezza atau nama lengkapnya Muhammad Shahrezza Abu Samah, 23, mendakwa individu itu bukan sahaja suka berhutang bahkan tidak menghormatinya sebagai artis.

Ya buat masa sekarang saya tidak lagi bekerjasama dengan individu itu. Susah bekerja dengan orang yang berhutang sana-sini, tak profesional, selalu pegang-pegang (raba) aku.

“Anggap aku macam anak padahal nak menggedik. Kau rasa diri kau tu perempuan padahal kau tu lelaki, dah tua dan kau sendiri kotorkan nama artis,” dedahnya.

Tambah bekas peserta Calpis Soda One In A Million itu lagi, individu berkenaan turut mengambil wang hasil kerja kerasnya.

Takkan duit perkongsian bersama rakan niaga waktu bulan puasa hari tu pun nak rembat?

“Aku cuba tahan diri, mental aku dah hampir setahun. Sebelum masuk pertandingan lagi aku dah jadi alat. Akhirnya aku juga yang nampak buruk dan jahat,” tambahnya.

Sementara itu Rezza ketika dihubungi HibGlam mendedahkan mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas wangnya disonglap sedikit demi sedikit.

“Dia ada berhutang tapi dia jual nama saya. Duit hasil penggambaran drama saya dia kebas. Dia gunakan duit itu semua untuk keuntungan dia.

Paling saya tidak selesa apabila sering jadi mangsa gangguan seksual. Saya sering dicium di hadapan orang, dipeluk dari belakang dan dipegang di tempat yang tidak sepatutnya dipegang. Dia selalu nak betulkan seluar saya bila saya bersiap untuk buat persembahan,” luahnya.

Ditanya adakah dia membuat laporan polis terhadap individu terbabit, kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu dia tidak tahu bagaimana mahu bertindak ketika itu kerana terlampau tertekan.

Tambah Rezza lagi, kini dia hanya mahu fokus kepada kerjaya seni dan tidak lagi mahu ditindas oleh mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Saya memang tak suka bila kerjaya saya dicampuradukkan dengan masalah yang tidak sepatutnya seperti ini. Saya ikhlas nak berkarya atas nama dan hati saya sendiri.

Jadi sekarang saya memang nak fokus dengan kerja dan hidup baru. Saya tak mahu lagi ditindas. Saya ada prinsip. Maaf saya terpaksa dedahkan perkara ini sebab saya perlu jaga kesihatan mental saya,” katanya.

HibGlam akan cuba mendapatkan pengesahan daripada pihak pihak yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok