DOAKAN yang baik-baik untuk kami”.
Itu respons penyanyi dan pelakon Elliza Razak dan Nine Phyne Ballerz mengenai desas-desus mengatakan mereka kini hangat bercinta.
Menurut Elliza atau nama lengkapnya Elliza Abdul Razak, 41, dia dan Nine sememangnya rapat sejak dahulu lagi dan lelaki itu setia berada disisinya saat diuji kesusahan.
Memang kami rapat, dia banyak beri sokongan moral kepada saya. Dia juga banyak luangkan masa bersama saya. Itu sesuatu yang sangat mahal.
“Abang kandung saya sendiri pun ucap terima kasih pada Nine kerana selalu menjaga saya.
Tetapi untuk mengatakan saya bercinta dengan dia atau pun tidak, saya tak berani. Kalau kata tidak, nanti itu yang kita dapat. Bab jodoh saya serahkan kepada ketentuan Ilahi,” katanya kepada HibGlam.
Senada dengan Nine atau nama sebenarnya Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri, 43 mengakui tidak berani mengesahkan sama ada menjalin hubungan cinta dengan Elliza.
Saya sentiasa mengharapkan doa orang ramai serta sokongan terhadap kami dan juga perniagaan kami. Jika ada yang doakan kami bertemu jodoh, saya aminkan sahaja doa yang baik-baik,” katanya.
Terdahulu, minggu lalu Nine mendedahkan dia kini berstatus duda selepas menceraikan kedua-dua isterinya.
Jelasnya, dia menceraikan isteri pertama 2017 manakala isteri kedua tiga tahun lalu.
Pertikaian mengenai status perkahwinannya mula diperkatakan netizen selepas dia dilihat sering bersama Elliza dalam media sosial dan di majlis hiburan. – HIBGLAM