‘Bimbang kes salah laku artis, saya pernah buat silap’

KECOH isu artis lelaki ditahan polis selepas didakwa mencabul gadis bawah umur, penyanyi Zynakal mengakui risau andai ujian seumpama itu menimpa dirinya.

Ujar Zynakal atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 27, sebagai manusia biasa, dia tidak sempurna dan pernah tersasar dalam hidup.

“Mendengar banyak kes (amang seksual) melibatkan artis yang umur lebih kurang saya, rasa bimbang sebab saya sedar diri ini pun bukan sempurna. Saya juga pernah buat silap dalam hidup.

Tapi kalau benda seperti itu berlaku kepada saya, mungkin Tuhan nak buka mata saya tentang siapa diri saya yang sebenar.

“Sebab manusia memang tak terlepas melakukan salah dan silap,” katanya kepada HibGlam.

Tanpa berselindung, pelantun lagu Sakit itu mengakui pernah berada dalam fasa ‘lupa diri’ ketika populariti berada di kemuncak.

Pun begitu, dia bersyukur kerana tersedar sebelum hanyut lebih jauh.

“Saya sendiri pernah melalui fasa terlena dengan apa yang saya capai.

Waktu itu, saya rasa macam hidup dah cukup sempurna. Tapi saya cepat tersedar dan cari jalan untuk perbetulkan keadaan.

“Bukanlah bermaksud saya dah cukup matang tapi mungkin sebab usia makin bertambah, saya mula belajar kawal pergaulan dan lebih menjaga hubungan dengan orang lain,” ujarnya pada majlis sidang media Konsert Hype Republic, semalam.

Sebelum ini, negara digemparkan dengan kes seorang penyanyi dan pelakon terkenal  ditahan selepas didakwa mencabul seorang gadis berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor.

Difahamkan, remaja tersebut mengenali artis terbabit ketika bekerja di sebuah kafe. Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).

Dalam perkembangan lain, Zynakal bakal beraksi di Konsert Hype Republic di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 13 Disember depan.

Antara artis yang turut memeriahkan pentas termasuk Kmy Kmo, Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboii, Bunga Isme, Zubir Khan, KOI dan seorang penyanyi kejutan yang masih belum diumumkan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok