PELAKON Datin Intan Najuwa meminta golongan ibu tidak berhenti memuat naik konten berkaitan penyusuan dan susu ibu dalam media sosial.
Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, perkongsian sebegitu sangat membantu terutama buat wanita yang baru bergelar ibu.
“Para ibu, kongsi sahaja perjalanan dan cerita anda, sebarkan kesedaran. Tidak salah pun memuat naik tentang penyusuan atau susu ibu.
Sebagai yang baru bergelar ibu, saya belajar banyak perkara dengan melihat pelbagai perkongsian dalam media sosial, sangat mudah.
“Kalau sesiapa tidak suka, mudah, berhenti mengikuti dan teruskan cari topik lain,” katanya dalam aplikasi Thread.
Dalam masa sama, ibu kepada seorang cahaya mata perempuan, Imane Lunara itu mengakui kecewa melihat segelintir individu mudah melemparkan kecaman terhadap wanita yang berkongsi perihal penyusuan dalam media sosial.
Biarkan semua ibu di luar sana gembira dan berkongsi apa sahaja mereka inginkan tanpa dihakimi oleh mana-mana pihak.
“Secara jujur, sangat sedih melihat kaum wanita sendiri yang melemparkan kecaman dan menghukum,” ujarnya.
Perkongsian tersebut seterusnya meraih sokongan netizen yang sependapat dengan Intan. – HIBGLAM