‘Saya sarankan Thanuja buat pemeriksaan kesihatan mental’

PENDAKWAH bebas Firdaus Wong menyarankan model dan pelakon Thanuja Ananthan melakukan pemeriksaan kesihatan terutama pada bahagian kepala susulan kenyataan mengenai haiwan sembelihan pada Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Menurut Firdaus, dia juga menyifatkan perkara dilakukan Thanuja seperti individu yang menghidap dementia iaitu lupa dengan perkara pernah dilakukan sebelum ini termasuk menjamah makanan seperti ayam dan ikan.

Antara tanda awal seseorang menghidap dementia adalah terlupa perkara atau peristiwa yang baru terjadi, hilang jejak masa dan perubahan personaliti.

“Melihat kepada komentar Thanuja, saya bimbang akan kesihatan mentalnya dan menyarankan dia untuk membuat pemeriksaan kesihatan mental.

Mungkin dia terlupa pernah berkongsi nasi beriyani ayam pada 2016. Iyalah, sudah hampir 10 tahun atau saudari terlupa tentang hidangan ikan salmon pada Februari 2025?” katanya dalam Instagram.

Dia turut mendakwa Thanuja tidak tahu membezakan dan terlupa hidangan ayam yang dijamahnya adalah haiwan sembelihan.

Dia bahkan turut menggelar Thanuja sebagai individu yang mengejar perhatian dengan berkongsi pandangan yang disifatkan sebagai kurang bijak.

“Atau bagi Thanuja, makan ayam dan ikan tu bukannya dibela, tak disembelih dan merasakan kalau dia yang buat tak mengapa tetapi orang muslim sembelih lembu atau kambing ketika Hari Raya Aidiladha itu tak okey?

Atau sebenarnya dia bukan menghidap simptom dementia tetapi kurang kasih sayang (KKS) dan mendambakan perhatian?

“Bagaimana untuk mendapatkan perhatian? Bagi komentar yang mendedahkan kedangkalan pemikiran saudari?” katanya lagi.

Kelmarin, Thanuja mengakui emosinya terkesan melihat haiwan disembelih setiap kali musim Hari Raya Aidiladha.

Dia juga terpaksa berhenti menghabiskan masa di media sosial buat masa ini kerana tak sanggup melihat haiwan disembelih.

Perkongsian dalam aplikasi Thread itu mengundang perhatian termasuk kecaman yang rata-ratanya berpendapat Thanuja tidak sensitif mengenai agama lain. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok