‘Sangat terkesan nahas bas pelajar UPSI’ 

TRAGEDI kemalangan melibatkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak semalam memberi kesan mendalam kepada selebriti versatil Alif Satar.

Bagaimanapun, Alif atau nama lengkapnya Muhammad Alif Mohd Satar, 35, tidak pasti mengapa tragedi menyayat hati tersebut meninggalkan impak kuat buat dirinya walaupun sudah banyak berlaku kemalangan melibatkan bas.

“Kemalangan UPSI (semalam) aku rasa terkesan sangat, tidak tahu kenapa.

“Kemalangan bas macam ini dah banyak kali berlaku dan memang jelas bas itu dipandu laju, memotong di selekoh dalam keadaan gelap gelita,” katanya dalam aplikasi Threads.

Pada masa sama, pelantun lagu Anugerah Terindah itu meminta pandangan orang ramai cara mengelak tragedi sama berulang selepas ini.  ‘Bagaiman kita boleh pastikan tak berlaku lagi?

“Apa sebenarnya penyelesaian untuk perkara ini, bagaimana kita boleh pastikan tidak akan berlaku lagi?,” soalnya.

Dalam hantaran tersebut, ramai tampil berkongsi beberapa cadangan solusi masalah berkenaan.

“Kena melaksanakan undang-undang macam lori tangki minyak Petronas atau Shell. Sangat tegas dan tiada kompromi,” ujar pengikut.

“Wajibkan semua bas memasang penggera atau siren amaran apabila melebihi kelajuan 90 kilometer (km) per jam. Bila bunyi bising, pemandu automatik kurangkan kelajuan,” jelas netizen.

“Kalau lebuh raya Singapura, kerajaan memasang sistem penghadang bergolek (guardrail rolling system) di selekoh tajam dan lebuh raya yang sering terjadi tumpahan minyak. Ini membantu mengurangkan impak jika berlaku kemalangan,” cadang peminat.

Semalam, Kosmo! melaporkan seramai 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat JRTB, Gerik awal pagi ini.

Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus universiti berkenaan dari Jerteh, Terengganu.

Sebahagian mangsa nahas kemalangan di JRTB yang kini dirawat di Hospital Gerik berada dalam keadaan kritikal. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok