PENYANYI Syed Iqbal yang kini meledak dengan lagu Basstamam mengakui pernah mendirikan rumah tangga pada 2022.
Syed atau nama lengkapnya Syed Muhammad Iqbal Jamalullail, 24, berkata, dia bertemu jodoh dengan wanita yang muda setahun daripada usianya.
Perkahwinan yang diatur keluarga itu bagaimanapun hanya betahan selama setahun.
“Itu adalah kehidupan yang saya pernah jalani dan ya saya pernah berkahwin cuma tidak kekal lama.
“Perkahwinan tersebut diatur keluarga. Ketika itu umur saya 21 tahun dan kami berpisah pada 2023,” katanya kepada HibGlam pada sesi sidang media lagu Basstamam di Al-Sultan, Glenmarie, Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, Syed yang juga adik kepada pendakwah bebas Da’i Syed memaklumkan dia tidak serik jauh sekali menyesali takdir yang tertulis.
“Saya lebih selesa menjaga privasi sebab bagi saya setiap orang ada kehidupan yang mereka perlu jalani.
“Saya juga tidak serik dan menyesal (dengan perceraian) sebab itu adalah takdir dan salah satu daripada rukun iman kita,” katanya.
Malah, dia yang kini dikaitkan sedang mengenal hati budi seorang pempengaruh terkenal mengakui terbuka untuk mendirikan rumah tangga andai sudah sampai seru.
“Insya-Allah kalau sampai waktunya saya akan berkahwin.”
“Namun buat masa ini apa yang saya boleh katakan adalah saya masih ‘single but not available’,” katanya lagi.
Sekadar info, video muzik lagu Basstamam nyanyian Syed Iqbal kini mencecah lebih 230,000 tontonan selepas 10 hari dimuat naik di platform YouTube. – HIBGLAM