‘Menangis hari raya kena kerja tapi tak menyesal’

SEBAGAI anak seni, pelakon Scha Elinnea mengakui terpaksa korbankan masa untuk bersama keluarga bagi memberi laluan kepada kerjayanya.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen percaya bahawa pengorbanan tersebut tidak akan sia-sia.

“Pengorbanan yang saya lakukan adalah mengorbankan masa bersama keluarga, diri sendiri serta orang di sekeliling.

Saya mengakui pengorbanan yang dibuat memang sukar, sudah pasti akan merindui masa bersama keluarga.

“Tapi saya percaya semua pengorbanan itu akan membuahkan hasil satu hari nanti, insya-Allah,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelakon drama Mr. Grey itu memaklumkan pernah menangis kerana tidak dapat menghabiskan masa bersama keluarga lebih-lebih lagi sewaktu menyambut perayaan.

Pelakon berusia 26 tahun itu bagaimanapun tidak menyesal memilih jalan hidup sebagai anak seni kerana percaya dengan aturan Allah.

“Tipu kalau tidak sedih jika ada perayaan seperti hari raya lihat orang lain boleh balik kampung lama dengan keluarga, manakala saya terpaksa korbankan perkara itu untuk kerja.

Namun tidak mengapa, berlakon adalah tanggungjawab dan saya harus laksanakan. Menangis juga lah tak dapat luang masa lama dengan keluarga.

“Masuk ke industri langsung tidak buat saya rasa menyesal, saya percaya jalan yang saya lalui sekarang ini apa yang sudah diatur Allah,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Scha membintangi drama Anak-Anak Mafia arahan Suhaimi Zulkefli akan mula ditayangkan pada 12 Jun ini dalam platform penstriman Tonton.

Selain Scha, Anak-Anak Mafia turut dibintangi Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqanda dan Zhen Ning. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok