Boyz II Men tiada tandingan, berbaloi peminat beli tiket

AURA romantis melatari Megastar Arena Kuala Lumpur dengan alunan seleksi malar segar yang diperdengarkan Boyz II Men menerusi konsert Boyz II Men Live in KL.

Dari hit Water Runs Dry, On Bended Knee, 4 Season of Loneliness, Yesterday, One Sweet Day dan It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday sehingga encore, End of The Road serta Motownphilly, vokal harmoni trio tersohor Amerika Syarikat itu menusuk hingga ke dasar jiwa.

Malah, ketika lagu I’ll Make Love to You garapan komposer Babyface yang dimuatkan dalam album kedua mereka terbitan 1994 diperdendangkan, sorakan bergema di segenap gelanggang.

Hadiahkan ros

Membuatkan lagi penggemar tegar terutama wanita ‘cair’ adalah apabila ketiga-tiga penghibur asal Philadelphia itu melontarkan kuntuman ros merah kepada penonton sebagai tanda kasih buat kaum hawa seperti mana digambarkan menerusi bait liriknya.

Pastinya graf momentum persembahan yang dibawakan Shiraz Projects selaku penganjur itu terus mencanak sedari awal Boyz II Men menguasai pentas tepat pukul 9 malam.
Sejam sebelum itu, DJ Skeletor memanaskan suasana dengan seleksi popular bermula dari era 1990-an yang membuatkan khalayak berdansa mengikut rentak.

Sebaik trio terbabit muncul, energi sekitar 3,500 penonton yang memenuhi lokasi acara di tengah ibu negara itu terus memuncak seolah-olah tidak sabar untuk dihiburkan.

Tidak berceloteh panjang, penerima empat kali Anugerah Grammy itu menyapa mesra khalayak yang disifatkan penuh energi seterusnya mengimbas memori beraksi di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2019 juga dianjurkan Shiraz Projects.

“Apa khabar Kuala Lumpur. Kami teruja kembali ke sini untuk bersama anda semua yang penuh tenaga seperti mana kedatangan kami enam tahun lalu,” luah Nathan Morris.

Segmen tribute

Malam terus larut dengan untaian dendangan yang menjadi lagu wajib buat sebahagian besar pendengar sekali gus mengembalikan kenangan manis ketika zaman bercinta.

Selain deretan lagu hits mereka, trio yang turut berada dalam senarai selebriti di Walk Of Fame, Hollywood itu mendedikasikan segmen khas buat penghibur legenda termasuk mendiang Michael Jackson, Prince dan juga The Beatles.

“Kami bukan penyanyi yang bagus, namun sebab kami terus berada di pentas selepas lebih 30 tahun adalah kerana deretan nama besar ini.

“Michael Jackson, Prince, The Beatles dan tidak ketinggalan Whitney Houston yang menyuntik semangat dan meninggalkan legasi tersendiri di arena muzik,” kata Nathan lagi.

Selain Purple Rain dan Come Together, Boyz II Men turut menyampaikan dendangan asal daripada Bruno Mars, Locked Out Of Heaven sebagai pelengkap.

Melihat aksi mereka membuai emosi, tidak keterlaluan jika dikatakan posisi Nathan, Wanyá Morris, dan Shawn Stockman belum dapat digantikan mana-mana grup, sekali gus meletakkan mereka sebagai kumpulan R&B ikonik antarabangsa.

Mereka tetap kental di jiwa penggemar tegar yang sanggup ‘melaburkan’ wang untuk tiket berharga RM355 sehingga RM955 demi menikmati deretan dendangan penuh nostalgia.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok