PENYANYI popular Noraniza Idris kesal penukaran idea pembungkusan berkotak produk makanan ringan yang diusahakannya kini dikatakan meniru idea promosi dan jualan pempengaruh Datuk Seri Aliff Syukri.
Ujar Noraniza atau nama sebenarnya Nor Aniza Idris, 57, penghasilan kotak bagi pembungkusan muruku milik perniagaannya, Che Ani Premium adalah sebagai usaha menghargai pembeli kudap-kudapan warisan tradisional tersebut.
“Kau ni orang Melayu ke apa? Tak reti (pandai) nak hargai perniagaan tempatan.
Kalau tengok betul-betul, itu beg ke? Saya rasa kotak, tak sama dengan beg. Saya buat kotak saja untuk hargai warisan, apa masalahnya?
“Saya keluarkan satu benda yang saya boleh hargai pembeli muruku, kenapa dengki?” katanya.
Malah, pelantun lagu Dikir Puteri itu mengakui memilih kaedah pembungkusan sedemikian selepas menerima maklum balas kurang baik pembeli yang mendakwa bungkusan asal mudah rosak.
“Ramai mengadu, bungkusan cepat rosak, jadi kita hasilkan kotak ini untuk meningkatkan kualiti produk kita dan pastikan pembeli muruku kita berpuas hati.
Ada yang mengadu setiap kali sampai pecah, pek jadi kempis. Jadi kita sediakanlah kotak.
“Saya hargai setiap sen pembeli merupakan satu kesempurnaan yang mereka inginkan. Jadi apa salahnya kita ‘upgrade’ kita punya bungkusan,” ujarnya lagi.
Noraniza atau lebih mesra disapa Ani itu tampil bersuara selepas ada segelintir netizen mendakwa pembungkusan produk makanan berkenaan seperti meniru Aliff yang kini aktif menjual pelbagai jenis beg dalam media sosial.
“Datuk Aliff Syukri jual beg, Che Ani nak jual beg juga ke? Sibuk je,” tulis seorang netizen dalam sebuah siaran langsung. – HIBGLAM