PELAKON Atikah Suhaime meraikan usia tiga bulan puteri sulungnya, Lyla Mulan Teh dengan cara tersendiri apabila membawa penjaga anaknya itu menikmati hidangan mewah Korean Sashimi.
Atikah, 34, berkata, perancangan asal adalah untuk keluar makan bersama suaminya, Datuk Lokman Teh dan beberapa kenalan rapat, namun terpaksa dibatalkan selepas puteri kesayangannya itu tidak berhenti menangis.
“Sebenarnya saya dah siap mekap, nak keluar makan dengan suami dan kawan-kawan. Tapi Mulan asyik menangis, saya pun batalkan niat.
“Jadi saya ambil keputusan ajak dayang-dayang Mulan raikan usia tiga bulannya dekat luar. Bukan apa, rugi dah siap lawa-lawa tapi tak jadi keluar,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelakon TanTiAna itu, pengalaman tersebut menjadi lebih bermakna kerana penjaga anaknya tidak pernah merasai ikan mentah sebelum ini, menjadikan sambutan kecil-kecilan terbabit sesuatu yang istimewa buat mereka.
“Saya bawa mereka makan Korean Sashimi sebab mereka tak pernah rasa makanan mentah.
“Pada mulanya saya hanya membuat pesanan set sashimi bernilai RM381, namun menambah beberapa lagi hidangan,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan Atikah yang disifatkan sebagai majikan berhati mulia.
“Ada rupa, ada hati. Bukan semua orang ingat penjaga anak macam keluarga,” tulis seorang netizen.
“Semoga rezeki Atikah makin melimpah. Seronok tengok dia hargai orang sekeliling,” komen individu lain.
“Dia tak berkira dengan pengasuh, orang pun tak akan berkira nak jaga anak dia, jarang dapat majikan macam dia, satu dalam seribu,” luah pengguna media sosial.
Untuk rekod, pelakon asal Singapura itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Lokman Teh pada 21 Januari tahun lalu dan kini aktif berkongsi perkembangan anaknya Lyla Mulan dalam media sosial. – HIBGLAM