Sooyoung, Gong Myung ‘jatuh cinta’ pandangan pertama

INDUSTRI hiburan Korea Selatan tidak pernah ‘kering’ melahirkan karya terbaharu. Ada sahaja ‘buah tangan’ terkini pelbagai genre.

Terbaharu, drama Second Shot At Love lakonan Sooyoung, Gong Myung, Jo Yoon-hee dan Kang Hyung-suk sedang bersiaran di TvN dan platform penstriman Viu bermula 12 Mei lalu.

Drama 12 episod tersebut berkisarkan seorang wanita Han Geum-ju (Sooyoung) iaitu mekanik kereta berpengalaman selama 10 tahun di sebuah syarikat automobil terkemuka Korea.

Dia juga gemar menikmati minuman keras dan menganggap dirinya seorang peminum yang bijak dan terkawal.

Suatu hari, dia bertemu semula dengan cinta pertama dan sahabat lamanya, Seo Ui-joon (Gong Myung) yang kembali ke kampung halamannya dari Seoul.

Ui-joon pernah bekerja sebagai pakar perubatan di sebuah hospital universiti berprestij di Seoul, namun atas sebab yang tidak diketahui, dia pulang ke kampung dan bekerja sebagai pengarah di pusat kesihatan awam.

Berbeza dengan Geum-ju, Ui-joon membenci alkohol. Dalam pada itu, Geum-ju malu apabila dilabel sebagai seorang kaki botol, lalu dia mencabar dirinya untuk berhenti minum alkohol.

Menurut Sooyoung, babak paling sukar untuk dijayakan adalah sebagai seorang pemabuk kerana dia sendiri bukan seorang peminum.

“Pada mulanya, ada adegan mabuk dalam setiap episod, jadi saya banyak berfikir tentang cara untuk hidupkan watak tersebut.

“Sebenarnya saya tidak begitu gemar minum alkohol, jadi tiada apa yang terlintas di fikiran saya dengan segera, tetapi dari segi minuman, saya rasa suhu (minuman) itu sangat penting.

“Bahagian itu mungkin cabaran yang paling sukar bagi saya,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama lengkap Choi Soo-young itu mengakui babak disukai dalam drama tersebut adalah semasa pelakon gandingannya mampu melarutkan emosi dalam adegan menangis.

“Dalam episod pertama, ada satu adegan di mana Geum-ju menangis.

“Saya rasa saya menghabiskan banyak masa memikirkan perjalanan emosi watak tersebut, dan memandangkan bukan mudah untuk benar-benar menyelami perasaan, adegan itu terasa sangat bermakna bagi saya,” jelasnya.

Sepanjang menjalani penggambaran, wanita berusia 35 tahun itu mengakui Gong Myung adalah seorang yang sangat baik kerana saling mengambil berat terhadap orang lain.

“Gong Myung seorang yang sangat baik hati dan sentiasa mengambil berat terhadap rakan pelakon, jadi penggambaran sangat selesa dan menyeronokkan.

“Dia seorang pelakon hebat, bahkan individu yang sangat baik dan saya rasa bertuah dapat bertemu dengannya sebagai rakan gandingan dalam drama ini,” tuturnya.

Watak doktor

Sementara itu, Gong Myung turut memuji Sooyoung yang sangat profesional dalam bekerja kerana mampu memudahkan perjalanan penggambaran.

“Ini kali pertama kami berlakon bersama, tetapi rasanya seperti kami sudah lama bekerja bersama, sangat serasi.

“Soo-young mempunyai personaliti yang sangat menyenangkan, jadi kami cepat menjadi rapat dan saling menyokong sepanjang penggambaran,” katanya.

Berkongsi mengenai watak, Gong Myung sering berkomunikasi dengan pengarah bagi menentukan cara melakonkan karakter sebagai seorang doktor.

“Memandangkan Seo Ui-joon ialah seorang doktor, saya banyak berbincang dengan pengarah tentang cara menyampaikan nada dan perbuatan yang boleh dipercayai, baik secara profesional mahupun dalam kehidupan harian.

“Saya rasa kami bekerjasama untuk menetapkan arah tuju itu. Adegan yang paling mencabar ialah ketika Ui-joon membantu warga emas kampung dengan tugas-tugas mereka,” jelasnya.

Dia juga berkongsi tentang perihal peribadi yang mana dia lebih suka tidur untuk memulihkan tenaga selain sangat menjaga kesihatan diri.

“Saya percaya bahawa tidur membantu memulihkan tenaga saya.

“Saya juga lebih memberi tumpuan kepada kesihatan dan mengambil suplemen vitamin,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok