Inilah Nik Muhammad, Baby M Nabila Razali

SELEPAS lima bulan, penyanyi Nabila Razali akhirnya mendedahkan wajah putera sulungnya sempena majlis akikah dan sambutan Hari Raya Aidiladha di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Seperti yang dijanjikan, menerusi hantaran dalam Instagram, Nabila atau nama lengkapnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, berkongsi foto keluarga kecilnya bersama Baby M atau nama lengkapnya, Nik Muhammad Nik Iruwan.

“Salam Aidiladha buat semua. Moga pengorbanan dan amal ibadah kita menjadi bekalan yang diberkati dunia dan akhirat.

“Alhamdulillah tahun ini Bella berkesempatan beraya di Kelantan. Baby M pun dah berusia lima bulan. Sekarang adalah masa yang tepat untuk Bella perkenalkan Nik Muhammad bin Nik Iruwan.

“Terima kasih buat semua selalu doakan baik-baik buat Baby M. Moga yang indah sahaja buat kalian,” tulisnya.

Pelantun lagu Cemburu itu juga sempat meninggalkan pesanan agar tetamu yang hadir ke majlis akikah anaknya agar menjaga prosedur operasi standard atau SOP.

“Semua yang hadir jangan lupa jaga SOP. Kita ‘have fun’ datang makan-makan dan ambil gambar okey,” pesannya.

Sementara itu menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dilihat memuji kecomelan wajah Baby M.

Terdahulu awal minggu ini Nabila telah mengundang rakyat Kelantan untuk hadir ke majlis akikah serta sambutan hari raya Aidiladha di kampung suaminya di Kelantan.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok