‘Hijrah itu mudah, yang sukar adalah istiqamah’

LEBIH dua dekad bergelumang dalam industri lakonan, sebahagian besar sisi kehidupan si jelita bernama Nora Danish ini disaksikan khalayak.

Jatuh bangun, derita bahagianya semua diketahui umum. Kini, pada usia 43 tahun, pemilik nama lengkap Nora Mohd. Danish Hanif berada di fasa paling bahagia meski tanpa lelaki di sisi saat kembali memikul status ibu tunggal buat kali kedua.

Bahagianya bukan asbab bertemu pengganti, namun lebih bermakna apabila mendakap hala tuju kehidupan sebenar kembali memeluk fitrah sejak setahun lalu.

Berbicara perihal ‘melepaskan’ dan penghijrahannya, Nora mengakui  semua itu bukan mudah. Sebagai insan yang lemah, ada perang dalam jiwa harus selalu ditentang,

Banyak perkara yang menjadi kebiasaan harus dikorbankan demi penghijrahan dan untuk kekal istiqamah.

Nora berhasrat menunaikan ibadah haji tahun hadapan dan kalau diperkenankan Ilahi, bersama lelaki bernama suami.

“Ketika mula hendak berhijrah ada rakan beritahu, hijrah itu mudah, yang sukar adalah istiqamah. Memang benar, tambahan saya bekerja dalam industri hiburan.

“Jadi, untuk menjadi hamba yang taat saya korbankan banyak perkara, antaranya, jika dahulu masa lebih untuk dunia, sekarang saya dahulukan Allah seperti cuba solat awal waktu.

Saya juga berkorban nafsu dengan menahan diri daripada bersolek terlalu tebal supaya mudah untuk solat dan bersederhana dalam berfesyen.

“Selain itu, saya juga cuba untuk menahan diri daripada membeli-belah seperti dahulu, walaupun dalam hati meronta-ronta (ketawa). 

“Saya cuba untuk tidak membazir dan memberikan barangan yang sudah tak diperlukan kepada orang lain,” tutur  Nora membuka bicara.

Sungguhpun penghijrahannya terlihat mudah dan disokong sahabat dan keluarganya, kata Nora, adakalanya lelah membelit jiwa kerana semuanya harus dilakukan sendiri tanpa seorang suami di sisi.

“Memang sukar kerana saya baru berhijrah. Hidup berseorangan tanpa suami dan hendak menuju syurga Allah pasti ada kepenatannya.

Nora memasang impian untuk menunaikan haji pada tahun depan selepas melihat selebriti idolanya Neelofa menunaikan ibadah besar itu pada usia yang muda.

“Ada masa datang perasaan penat dan tidak mampu kerana begitu banyak yang harus saya qada kembali.

“Saya masuk kelas-kelas agama untuk kekal istiqamah cuma tidak sama sokongan orang lain berbanding kalau ada suami.

Alhamdulillah sekarang tujuan hidup saya lebih jelas, sebelum ini bercabang-cabang dengan hal dunia. 

“Saya bahkan sempat bimbang andai pergi dahulu apa akan jadi dengan anak-anak? Walhal kita ini milik Allah, Allah yang akan jaga semuanya,” tutur Nora.

Ditebak soal jodoh, Nora akui kini hanya fokus memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

“Buat masa ini hanya nak perbaiki diri, tidak mahu mencari jodoh. Saya percaya selepas perbaiki diri, Allah akan hadirkan insan yang baik,” jelas Nora.

Kritikan

Kendati pun sudah berhijrah dan perlahan-lahan menjaga pakaian dan auratnya, bintang Polis Evo itu masih menjadi mangsa kritikan peminat, ada juga mendesak tudungnya dilabuhkan.

Khalayak mengharapkan perubahan drastik daripadanya, walhal ibu kepada dua orang anak ini masih dalam fasa belajar.

“Sebelum hijrah pun saya sudah hadapi kritikan. Saya faham harapan tinggi khalayak. Memang saya kerap muat naik konten agama, tetapi adakalanya saya cuma kongsi ilmu.

Orang anggap saya suci seperti malaikat, sedangkan perjalanan saya masih panjang. Adakala saya diuji dan terlepas pandang sesetengah perkara.

“Apa pun saya ambil setiap teguran dan anggap itu semua doa yang baik. Orang tegur perkara yang baik tanda mereka sayangkan kita, jadi reda sahaja,” katanya. 

Berkongsi tentang karier seninya, Nora mengaku telah lama memperlahankan kerjaya lakonan demi fokus terhadap penghijrahannya.

Situasi itu bagaimanapun tidak bermakna Nora langsung menolak lakonan. Sehingga kini dia masih menerima tawaran, namun memilih watak bersesuaian.

“Sebelum berhijrah saya telah perlahankan karier lakonan dan fokus kepada kempen jenama. Jadi, apabila tawaran lakonan kurang saya tidak terkejut.

Bergelar ibu tunggal buat kali kedua, Nora kini tidak memikirkan soal suami atau lelaki, sebaliknya menetapkan hati memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Ilahi.

“Lakonan pun tidak ada masalah kerana produksi di Malaysia hari ini sudah memahami keperluan pelakon bertudung. Cuma ada tawaran yang ditolak disebabkan komitmen masa.

“Saya sanggup berkorban karier untuk sesuatu yang lebih baik. Tidak sangka Allah hadirkan rezeki yang lebih besar dan lebih baik sesuai dengan masa saya,” luah Nora.

Impian haji 

Nora yang pernah menunaikan ibadah umrah sebanyak empat kali secara terang-terangan menzahirkan impian untuk mengerjakan haji secepat mungkin.

Insan yang menjentik hatinya untuk menunaikan haji pada usia yang masih muda dan ketika badan yang masih sihat adalah pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa.

Neelofa buka mata saya untuk tunaikan haji pada usia muda. 

“Memang ramai orang muda tunaikan haji tetapi kerana Neelofa selebriti jadi kita nampak.

“Jika mampu pergilah tunaikan haji kerana menunaikan haji memerlukan tenaga, tambahan kita tidak tahu berapa lama usia di dunia, jadi rebut peluang kumpul pahala sebanyak mungkin,” kongsi Nora.

Tidak berkesempatan untuk menunaikan haji pada tahun ini, Nora membawa impian murni ke tahun depan.

“Jika fikir logik memang saya tidak bersedia, tidak dapat tahun ini, mana tahu Allah makbulkan doa untuk saya tunai haji pada tahun depan pula.

“Sejujurnya saya mendapat banyak tawaran untuk menunaikan haji, tetapi jika belum sampai rezeki dan panggilan daripada Allah memang tidak akan jadi. 

“Jadi, saya reda dan teruskan berdoa,” beritahu Nora yang meraikan perayaan Aidiladha tahun ini di Pulau Pinang.

 

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok