SPEKULASI pertunangan antara aktor Bradley Cooper dan model popular, Gigi Hadid semakin hangat selepas wanita itu dilihat mengenakan cincin berlian di jari manis kirinya baru-baru ini.
Momen yang dikongsikan dalam laman sosial ketika sambutan ulang tahun ke-30 di Le Chalet, New York City, itu membuatkan barang kemas di jarinya menjadi tumpuan.
Menurut sumber terdekat, adik kepada Bella Hadid itu pernah memberi bayangan kepada Cooper agar melamarnya dengan segera.
Kata individu terbabit lagi, selepas dua tahun bercinta Hadid nampak lelaki terbabit sebagai teman hidupnya sehingga ke akhir hayat.
Malah, masing-masing yang mempunyai zuriat hasil hubungan terdahulu saling menjaga anak-anak mereka secara bersama.
Anak perempuan Hadid, Khai, 4, dan anak perempuan Cooper, Lea, 7, selalu menghabiskan waktu bersama-sama setiap kali pasangan terbabit menghabiskan masa sebagai keluarga.
Begitupun, belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada kedua-dua belah pihak mengenai khabar pertunangan tersebut.
Hubungan Hadid dan Cooper mula dihidu ramai sekitar Oktober 2023 dan awal Mei 2025, Hadid berkongsi foto ciuman dengan aktor berusia 50 tahun di Instagram yang mengesahkan percintaan mereka.
Dalam satu wawancara, Hadid menggambarkan hubungan mereka sangat romantis, selain menyatakan kekasihnya memberi sokongan padu.