MUSIM haji tahun ini merupakan tahun istimewa buat beberapa selebriti yang berpeluang menunaikan rukun Islam kelima.
Panggilan Agung itu menjadi peluang yang sangat bermakna kerana tidak semua orang merasai pengalaman tersebut.
Tidak hanya memenuhi rukun Islam, perjalanan spiritual itu menjadi satu detik penting mengukuhkan lagi iman dan memperbaiki diri.
Kali ini, HibGlam bawakan nama-nama selebriti Indonesia yang mengerjakan haji pada tahun 2025.
- Surya Insomnia
PELAWAK dan pelakon, Surya Insomnia turut tersenarai dalam kalangan selebriti yang menunaikan ibadah haji tahun ini.
Berita mengenai keberangkatannya dikongsikan sahabatnya yang dikenali sebagai Andhika Pratama dalam media social. Andhika sebelum ini sempat menanyakan pelakon berusia 39 tahun itu mengenai sebab dia memilih menunaikan haji tahun ini dan jawab Surya: “Agak egoiskah kalau saya nak tunaikan haji secara diam?” soal Surya kembali.
Jawapan tersebut menjelaskan betapa haji bagi Surya satu perjalanan yang cukup peribadi.
- Ananda Omesh, Dian Ayu Lestari
PASANGAN selebriti, Ananda Omesh dan Dian Ayu Lestari juga menjadi antara jemaah haji tahun ini.
Menerusi hantaran Instagram, mereka menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang mengerjakan rukun Islam kelima dan memohon doa keluarga serta sahabat terdekat.
Pasangan itu berharap agar terus mendoakan mereka berada dalam keadaan baik bersama insan tersayang.
- Irish Bella
PELAKON Irish Bella meluahkan rasa syukur apabila berkesempatan menunaikan ibadah haji bersama suami dan adiknya tahun ini.
Sepatutnya, ibu mereka turut serta ke Tanah Suci tetapi terpaksa dibatalkan kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Namun, pemilik nama asal Yris Jetty Dirk de Beule itu masih berharap insan kesayangannya dapat menyusul tahun hadapan.
Dalam Instagram, wanita berusia 29 tahun itu memohon doa agar ibadah hajinya berjalan lancar, diberi kesihatan serta kembali dalam keadaan mabrur.
Dia juga meminta maaf atas kesalahan yang mungkin pernah dilakukan sebagai bentuk persediaan hati menyambut perjalanan spiritual ini.
- Wendy Cagur
BERBEZA dengan selebriti lain, pelawak Wendy Cagur memilih untuk tidak terbuka mengenai perancangannya menunaikan haji.
Sebaliknya, sahabatnya yang dikenali sebagai Andhika Pratama mendedahkan khabar tersebut menerusi media sosial.
“Sepatutnya kami bertiga berangkat menunaikan haji bersama tahun ini kerana sudah berniat sejak tahun lalu.
“Tetapi akhirnya hanya Surya dan Wendy yang jadi berangkat,” katanya dalam Instagram.
- Tya Ariestya
PELAKON Tya Ariestya turut menunaikan haji tahun ini bersama suaminya, Irfan Ratinggang.
Difahamkan, mereka sudah mendaftar sejak dua tahun lalu, namun berdepan kekeliruan dengan program keberangkatan yang diikuti.
Tya atau nama sebenarnya Ariestya Noormita Azhar menganggap situasi tersebut sebahagian daripada ujian Allah sebelum akhirnya berangkat ke Tanah Suci.
Sebagai tanda kesyukuran, wanita berusia 39 tahun itu mengadakan majlis doa selamat bersama ahli keluarga dan kenalan terdekat sebelum menunaikan haji.