‘Bella boleh berlakon di set, tetapi tak boleh dengan saya’

“BELLA mungkin boleh berlakon di set, tapi tak boleh berlakon dengan saya.”

Demikian respons Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sebaik dapat ‘menangkap’ identiti sebenar pemanggil peminatnya yang bertanyakan soalan tentang pengorbanan sewaktu diundang menjadi tetamu di sebuah konti radio.

Biarpun menggunakan nama Hana, ahli politik itu menyedari Bella sebenarnya berkomplot dengan penyampai radio berkenaan untuk mengenakannya.

Selesai menjawab soalan, Syed Saddiq terus mengakui sudah terkena ‘prank’ dan mengenali pemilik sebenar pemanggil.

“Kau orang scam aku? Saya boleh tahu suara orang termasuklah penggunaan ‘eh’, ‘ah’, saya dah tahu,” ujarnya.

Momen menggeletek hati tersebut dikongsikan menerusi akaun TikTok stesen radio terbabit.

Daripada rakaman berkenaan, Bella yang menyamar sebagai Hana mengakui dan teruja mengikuti perjalanan kerjaya politik Syed Saddiq.

“Saya nak beritahu yang saya memang minat dengan YB. Saya mengikuti perjalanan karier beliau.

“Tapi, kalau saya bagi soalan dekat YB boleh ke? Jadi apa pengorbanan YB yang pernah dibuat, boleh kongsikan dengan Hana tak?,” katanya.

Walaupun sudah dapat menghidu kebenaran, Syed Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abd. Rahman, 32, tetap menyantuni perbualan berkenaan.

“Pengorbanan susah nak telan ketika saya dapat tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford, bukan sekali tapi dua kali dengan biasiswa penuh dan masa itu saya di persimpangan, sama ada pilih berkhidmat dalam negara atau melanjutkan pelajaran.

“Kalau anda semua tahu keluarga saya berlatar belakangkan cikgu, pensyarah, mak cik banyak cikgu jadi ini memang keutamaan adalah pendidikan dan nak pergi ke Univeristi Oxford ni adalah salah satu impian saya.

“Tapi masa tu saya harus buat keputusan sukar dan hinggalah ke hari ini,” jawabnya seraya menebak identiti sebenar Hana.

Suasana konti bertukar gamat selepas penyamaran penyanyi dan pelakon itu terbongkar.

Terdahulu hubungan Syed Saddiq dengan ibu tunggal anak dua itu mendapat restu keluarga dan netizen walaupun kedua-duanya enggan memberikan sebarang pengesahan.

Malah terbaru, mereka juga didakwa sudah bertunang tetapi masing-masing mengakui buat masa ini hanya fokus terhadap kerjaya dan keluarga. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok