BUKAN kejutan, namun kemunculan bintang utama filem Apa Ada Dengan Cinta (AADC), Nicholas Saputra di Axiata Arena Bukit Jalil pada malam minggu lalu tetap mencetuskan kegamatan.
Sekitar 8,000 penonton terutama wanita di gelanggang gah yang menjadi lokasi Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite bagai dilanda histeria melihat kelibat Rangga di pentas utama.
Pembawa watak Rangga dalam naskhah ikonik AADC yang menjadi fenomena hingga ke Malaysia pada 2002 mengimbau nostalgia zaman cinta remaja, terutama ketika puisi dengan judul sama filem nukilan Rako Prijanto tersebut dideklamasikan.
Imbau nostalgia
Aktor kegilaan ramai yang kini sudah menginjak usia 41 tahun itu bahkan tidak ketinggalan menghadiahkan sebuah buku puisi kepada seorang peminat yang diundang ke atas pentas.

KEMUNCULAN Nicholas seperti dijanjikan penganjur, Icon Entertainment membuatkan hati khalayak berbunga-bunga.
Biar tidak sampai 10 minit, penampilan Nicholas seperti dijanjikan penganjur, Icon Entertainment membuatkan hati khalayak berbunga-bunga, sekali gus secara harfiah melengkapkan siri konsert ketiga Ada Apa Dengan Melly…? di negara ini.
“Ini adalah persembahan daripada kami berdua mewakili pasukan daripada Ada Apa Dengan Cinta,” ucap Melly Goeslaw juga penyanyi dan komposer tersohor Indonesia itu selepas Nicholas berlalu.
Dalam segmen tersebut, Melly menjemput tiga penonton secara rawak untuk berkongsi kisah duka mereka dalam percintaan sebelum diberikan kejutan dengan menghadirkan Nicholas.
Konsert Ada Apa Dengan Melly..? Prom Nite yang berlangsung lebih dua jam menyaksikan Ratu OST tersohor itu mempersembahkan lagu popular nyanyiannya serta gubahan yang dicipta untuk artis lain.
Melly, 52, yang diiringi orkestra lengkap sudah tentu turut memilih rantaian seleksi hit daripada filem Rudi Soedjarwo yang juga dibintangi aktres Dian Sastrowrdoyo.
Antara lebih 20 dendangan diperdengarkan Suara Hati Seorang Kekasih, Sampai Ku Menutup Mata, Jika, Gantung, Cinta Sejati, Lets Dance Together, Tak Tahan Lagi, Bimbang, Denting, Dimana Malumu, Memuji dan Tentang Seseorang.
Tampil dengan empat persalinan mengikut konsep Prom Nite, Melly meluahkan rasa terharu apabila diterima peminat Malaysia sejak dahulu lagi.
Kongsi karya
Akuinya yang mengadakan konsert tiga tahun berturut-turut di Malaysia mengharapkan dapat terus berkongsi karyanya di sini.
Dua konsert terdahulu, Ada Apa Dengan Melly (Back To School) pada 2023 disusuli Ada Apa Dengan Melly Friends (Malam Graduasi) pada 2024.
“Saya bersyukur mungkin menjadi salah seorang sekalian hamba Allah diberikan rezeki menghiburkan peminat di Malaysia,
“Ini konsert ketiga dan insya-Allah, saya berharap dapat ke sini, setiap tahun.
Terima kasih kerana terima muzik dan karya saya. Ternyata, bahasa menjadi segala-galanya,” katanya menzahirkan perasaan.
Selain mengimbau memori lalu, Konsert Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite turut mendedikasikan segmen istimewa buat tiga penghibur ikonik negara.

KONSERT yang berlangsung lebih dua jam menyaksikan Ratu OST tersohor itu mempersembahkan lagu popular nyanyiannya serta gubahan yang dicipta untuk artis lain.
Tribute
Komposer terbabit membawakan lagu Janji Manismu daripada Datuk Aishah, Betapa Ku Cinta Padamu (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Isabella (Search) yang disambut sorakan gemuruh khalayak.
“Ini adalah tribute (penghargaan) untuk rakan seperjuangan saya di Malaysia,” ucapnya ringkas sebelum mengalunkan deretan seleksi hits itu secara berturutan.
Siti dan vokalis kumpulan Search, Datuk Amy yang turut menjadi saksi konsert tersebut sama-sama terhibur dengan turut menyanyi dan berdansa mengikut rentak.
Sebelum itu, Melly yang muncul di gelanggang gah terbabit tepat pukul 9 malam memilih lagu rancak juga daripada album runut bunyi filem AADC sebagai pemanas.
Momentum persembahan diteruskan dengan Pencinta Wanita yang dicipta khas buat penyanyi dan pelakon Irwansyah, sekali gus meningkatkan lagi graf kemunculannya dalam siri ketiga konsert terbabit.
Istimewanya, penonton sama ada peminat wanita juga ‘sporting’ mengenakan gaun berkilau, manakala lelaki lengkap dengan sut atau tuxedo.

MELLY turut mengundang penyanyi remaja Indonesia, Dhinda Ghania serta artis Malaysia, Aina Abdul (gambar) berkongsi pentas dengannya.
Selain Rangga, Melly turut mengundang penyanyi remaja Indonesia, Dhinda Ghania selain Aina Abdul yang membawakan lagu Cinta serta berduet dengannya menyampaikan Hey Ladies.
Turut hadir memberikan sokongan terhadap konsert penuh warna yang berlangsung lebih dua jam itu adalah rakan seperjuangan dari seberang juga hos tersohor, Raffi Ahmad bersama isterinya, Nagita Slavina.
Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite bukan sekadar menyelak diari lampai, bahkan satu rendisi bahawa muzik sememangnya bahasa universal menyatukan semua.