‘Sertai PLKN 3.0, dah lama rasa nak jadi abang askar’

DEMI semangat cintakan negara, anggota SKYE (IN2IT), Isaac Voo menyertai Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0).

Bintang K-pop kelahiran Malaysia itu mengakui sudah lama mengimpikan pengalaman menjalani latihan ketenteraan seperti rakan Korea Selatannya yang lain.

“Saya gembira sangat dapat join PLKN 3.0 dan momen ini takkan saya lupakan. Memang dari dulu lagi teringin nak rasa macam mana jadi abang askar.

“Selama ini tengok kawan-kawan Korea masuk khidmat tentera. Kali ini saya sendiri rasa jadi askar Malaysia.

“Memang tak sangka dapat peluang pakai baju celoreng dan pegang senjata sebenar Rifle M16 tapi jangan risau, saya bukan nak tukar profesion. Apa yang saya boleh cakap, PLKN 3.0 memang seronok! Rugi kalau anda tidak sertainya,” katanya.

Difahamkan, Isaac ditempatkan di Lapang Sasar Mawilla, Markas Wilayah Laut 1.

Sepanjang berada dalam kem, dia mencuba pengalaman sendiri dalam aktiviti ketenteraan dan terharu apabila diberi peluang untuk memakai baju celoreng, dan menembak menggunakan Rifle M16.

Isaac antara selebriti tanah air yang mempromosikan program terbabit dengan harapan agar lebih ramai anak muda turut serta.

Antara selebriti lain yang turut serta adalah Fattah Amin, Diana Danielle, Syaidatul Afifah, Amira Othman serta beberapa pempengaruh media sosial yang lain.

Pengalaman unik berkenaan bukan sahaja menjadi kenangan manis buat Isaac, malah menjadi penghubung antara dunia K-pop dan semangat patriotik anak muda Malaysia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok