Saya yang terinspirasi daripada Ayden – Syed Saddiq

AHLI parlimen Muar, Syed Saddiq kagum dengan semangat anak kepada penyanyi, Bella Astillah iaitu Ayden yang berjaya menamatkan pertandingan berenang 400 meter di laut terbuka baru-baru ini.

Ditanya sama ada dia yang memberi galakan kepada Ayden untuk menyertai sukan renang, kata Saddiq sebaliknya, dia yang terinspirasi daripada si cilik tersebut.

“Sebenarnya terbalik. Bukan dia yang terinspirasi daripada saya sebaliknya saya yang terinspirasi dengannya. Bila saya lihat pertama kali dia berenang, dia nak capai 25 meter pun susah. Tetapi dia seorang yang berani.

“Saya sangat gembira apabila dia berjaya menamatkan renangan sejauh 400 meter di lautan yang bergelora. Dia hanya berlatih selama seminggu sahaja,” katanya kepada HibGlam sewaktu ditemui pada majlis Roadtour Score A SPM PTTI, di sini, semalam.

Tambah Saddiq lagi, disebabkan pembabitan Ayden dalam acara yang berlangsung di Langkawi itu, ramai ibu bapa yang menghubungi untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

“Ramai yang menghubungi saya dan beritahu mereka mahu anak-anak mereka menyertai kelas berenang, berlari, berbasikal dan amalkan gaya hidup yang sihat selepas melihat apa yang Ayden lakukan.

“Saya harap cerita inspirasi sebegini dapat membuatkan para ibu dan bapa melaburkan masa dan tenaga untuk mendidik anak-anak mereka tentang pentingnya mengamalkan gaya hidup yang sihat,” jelasnya.

Baru-baru ini, Bella Astillah berkongsi tentang kejayaan anaknya, Mohamed Ayden Adrean Mohammad Aliff, 8, yang berjaya menghabiskan renangan sejauh 400 meter dalam pertandingan yang berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah.

Ramai netizen yang beranggapan Ayden terinspirasi daripada Syed Saddiq yang sememangnya sinonim dengan sukan Iron Man. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok