PENYANYI Nabila Razali bakal mendedahkan nama serta wajah anak lelakinya buat pertama kali pada hari raya Aidiladha ini.
Menurut Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, sudah tiba masanya untuknya berbuat demikian sempena majlis akikah yang bakal diadakan di kampung halaman suaminya, di Kelantan Sabtu ini.
Ramai yang selalu tanya nama anak saya dan nak tengok wajahnya. Saya rasa inilah waktu yang paling sesuai untuk saya dedahkan.
“Sebenarnya sudah lama saya rancang untuk buat majlis akikah ini. Jadi alang-alang kita balik raya haji di kampung suami, jadi kita buat sekali majlis akikah ini.
“Jadi kepada sesiapa yang beraya di Kelantan, jemput datang ke majlis akikah anak saya nanti,” katanya ketika ditemui di majlis Roadtour Score A SPM PTTI, di sini, semalam.
Ditanya berapa ekor haiwan yang akan dikorbankan sempena majlis itu nanti, dia memaklumkan akan mengorbankan dua ekor kambing sempena majlis akikah dan selebihnya akan didedahkan pada hari raya Aidiladha nanti.
Pelantun lagu Peluang Kedua itu juga berharap agar orang ramai yang hadir ke majlis itu nanti menjaga SOP dengan tidak mencium anaknya untuk mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak dingini.
“Sejujurnya risau juga. Kes Covid-19 juga semakin meningkat ketika ini. Saya harap siapa yang akan jumpa Baby M nanti tidak mencium atau membuat perkara yang tidak sepatutnya.
“Saya harap semua dapat hormati pesanan saya ini. Saya juga hanya mampu berdoa agar semuanya dipermudahkan dan dijauhi daripada perkara yang tidak baik,” jelasnya.
Untuk rekod Nabila melahirkan putera sulungnya pada 23 Disember 2024 secara pembedahan di sebuah hospital di ibu kota. – HIBGLAM