PENYANYI terkenal Britain, Jessie J mengejutkan peminat apabila mendedahkan dirinya disahkan menghidap kanser payudara peringkat awal dan bakal menjalani pembedahan sejurus selesai persembahan di acara Summertime Ball pada 15 Jun ini.
Dalam satu video yang dimuat naik dalam Instagram, Jessie atau nama sebenarnya Jessica Ellen Cornish, 37, kelihatan tenang berkongsi berita duka berkenaan, meskipun mengakui masih dalam fasa menerima kenyataan.
“Saya disahkan menghidap kanser payudara peringkat awal.
“Kanser menyakitkan dalam apa jua bentuk, tetapi saya cuba kuatkan diri kerana semua ini masih pada peringkat awal,” katanya.
Pelantun lagu Price Tag itu sempat berseloroh bahawa situasi tersebut seolah-olah satu jalan pintas untuk mendapatkan pembedahan pembesaran payudara.
“Saya akan menyepi sekejap selepas Summertime Ball untuk jalani pembedahan.
“Nanti saya akan kembali semula dengan payudara besar dan muzik baharu,” ujarnya.
Tambah Jessie, keputusan untuk mendedahkan penyakit itu kepada umum bertujuan membantu dirinya melalui proses penerimaan selain menunjukkan solidariti kepada mereka yang senasib.
Dia turut sedih mengenangkan betapa ramai individu lain yang turut bergelut dengan ujian kesihatan jauh lebih berat.
“Saya mahu bersikap terbuka. Sebenarnya saya belum sempat hadam berita ini sepenuhnya kerana terlalu sibuk bekerja.
“Tetapi saya tahu, perkongsian seperti ini boleh memberi kekuatan kepada orang lain, sama seperti sokongan mereka memberi kekuatan kepada saya.
“Itu yang paling menyakitkan hati, apabila kita tahu bukan kita seorang yang diuji,” luahnya.
Penyanyi bersuara lantang itu sebelum ini turut berdepan pelbagai cabaran kesihatan termasuk masalah jantung sejak usia lapan tahun, strok kecil ketika berumur 18, malah pernah hilang pendengaran buat sementara pada tahun 2020.
Pada tahun 2023, Jessie dikurniakan seorang anak lelaki bernama Sky Safir Cornish Colman selepas mengalami keguguran dua tahun sebelumnya. – HIBGLAM