Ibarat mimpi ngeri, ratu cantik dituduh ketiak busuk

SEJAK minggu lalu, kecoh dalam dunia ratu cantik apabila pemenang Miss Grand International 2024 dari India, Rachel Gupta meletak jawatan kerana dikatakan tidak mendapat layanan selayaknya sebagai pemenang.

Antara pendedahan yang dilakukan Rachel adalah dia dikatakan telah menerima ejekan tubuh serta terpaksa menjual produk murahan dalam talian termasuklah tisu tandas dan sos cili.

Dia juga ditempatkan di sebuah rumah di pinggir Bangkok yang jauh dari kemudahan asas serta sukar untuk mendapatkan makanan.

Saya sangkakan selepas menang mahkota Miss Grand International pada Oktober lalu segala impian saya akan menjadi nyata. Namun apa yang saya lalui adalah ibarat mimpi ngeri.

“Selepas menang saya ditempatkan di sebuah bilik hotel yang kecil dan sempit. Nak buka bagasi pun tak cukup ruang. Saya tinggal di situ lebih daripada sebulan sebelum dipindahkan ke sebuah rumah di pinggir bandar.

“Rumah saya jauh dari bandar. Pihak organisasi tidak sediakan kenderaan, alat telekomunikasi serta tiada kelengkapan memasak dan makanan. Saya terpaksa pesan makanan melalui Grab dan mengambil masa dua jam untuk sampai kerana lokasi rumah yang sangat jauh,” dedahnya dalam sebuah video.

Terpukul dengan pendedahan tersebut, pemilik organisasi Miss Grand International, Nawat Itsaragrisil pula mendedahkan sikap Rachel yang dikatakan seorang yang pemalas dan menyalahgunakan gelarannya sebagai pemenang.

Nawat mendedahkan Rachel  melakukan pembedahan membesarkan payudaranya di sebuah klinik di Korea Selatan. Rachel juga telah meminta klinik tersebut untuk menaja ibu dan adiknya melakukan pembedahan kosmetik.

Lebih mengejutkan ramai apabila Nawat mendedahkan Rachel mempunyai masalah ketiak busuk dalam satu sidang media.

Ketiak dia sangat busuk”, katanya sambil ketawa.

Nawat juga mendedahkan sebenarnya organisasi Miss Grand International yang bertindak memecat Rachel daripada menyandang gelaran sebagai juara.

Perbuatan Nawat yang mempersendakan Rachel mengundang kecaman netizen dari seluruh dunia yang menyifatkannya sebagai individu yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab terhadap pemenang pertandingan ratu cantik miliknya sendiri.

Selepas pengunduran Rachel, posisinya telah digantikan oleh pemenang tempat kedua iaitu Christine Juliane Opiaza dari Filipina. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok