HANYA berbekalkan wang berjumlah RM200, pelakon dan pempengaruh Badron Munirah memberanikan diri berhijrah ke Semenanjung Malaysia demi mengejar cita-cita sebagai anak seni.
Nyata usaha pemilik nama lengkap Mohammad Nur-Badron Munirah Rio Abdillah yang berasal dari Mukah, Sarawak itu tidak sia-sia apabila kini mula membina nama dalam industri hiburan.
“Berbekalkan RM200 saya memang datang sini, saya ‘gamble’ walaupun saya rasa macam cukupkah RM200 ini? Hidup ini hanya sekali, alhamdulillah sekarang sudah sampai ke tahap ini (berlakon).
Sebenarnya saya tak beritahu mak pun yang saya cuma berbekalkan RM200 tapi disebabkan minat, saya rasa macam boleh pergi jauh lagi. Saya kena buat lagi jauh.
“Disebabkan itulah saya terbang ke Semenanjung,” katanya ditemui pada penggambaran siri Viu yang dibintanginya berjudul Putri & Phrince arahan Liyana Jasmay, hari ini.
Dalam masa setahun berhijrah di Semenanjung, Badron bersyukur apabila dapat memiliki sebuah kenderaan hasil daripada titik peluhnya.
Kalau nak ceritakan fasal pencapaian saya di sini, saya punya sasaran sejak tamat belajar ijazah memang nak beli kereta. Itulah sebabnya saya kerja dan terus sibukkan diri di sini.
“Alhamdulillah rezeki saya di sini berjalan dengan lancar. Sedikit demi sedikit lama-lama jadi banyak.
“Daripada hasil kumpulan duit itu, saya dapat beli kereta pertama saya iaitu Honda City Hatchback. Itulah saya rasa pencapaian yang paling besar,” ujarnya.
Badron kini menjalani penggambaran drama bersiri Viu berjudul Putri And Phrince arahan Liyana Jasmay.
Selain Badron, drama terbitan Mermaid Studios itu turut dibintangi Nesa Idrus, Nik Rafaie, Farah Nadiah, Khayrisyah Kemal dan Adrianna Adnan. – HIBGLAM