TIDAK kisah sekiranya berlarutan dalam tempoh masa panjang, penyanyi Datuk Nora Ariffin nekad dan akan terus memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli pada sebutan kali kedua proses pelantiikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.
Nora atau nama penuhnya nama sebenarnya, Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, yang tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 8.50 pagi tadi berkata, dia melantik kakak angkatnya, Rafeah Ariffin sebagai JKP yang akan mewakilinya untuk proses tersebut.
“Setakat ini tak ada (tarik fail). Saya kekal dengan perancangan asal.
“Tapi, apapun saya serahkan kepada pihak mahkamah,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.
Sementara pada sebutan pertama 6 Mei lalu, Rushdi enggan melafazkan cerai terhadap Nora kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.
Katanya, dia menyayangi Nora bahkan tidak mahu perceraian berlaku kerana perkara tersebut ditegah dalam Islam.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya.
Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawai pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM