‘Dia masih sayang isteri, percaya boleh berdamai’

Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya, Dr. Rushdi Ramli masih kekal dengan prinsipnya untuk terus mempertahankan rumah tangga dengan isteri yang juga penyanyi, Datuk Nora Ariffin.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd. Rais selain memberitahu anak guamnya selaku defendan tidak dapat hadir pada proses pelantiikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.

“Anak guam saya memohon maaf tidak dapat hadir hari ini kerana terlibat dalam satu seminar mewakili Universiti Malaya yang berlangsung di Brunei selama lima hari bermula semalam.

Ads by Kiosked

“Apa yang anak guam maklumkan, dia masih sayang kepada isteri. Insya-Allah ada ruang untuk berdamai.

“Nora juga mempunyai hak sama ada masih ingin meneruskan atau tidak (perceraian), tapi Rushdi masih lagi dalam usaha memujuk,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Mengulas prosiding hari ini, Azmi berkata, pihaknya sudah meminta untuk meminda tarikh lebih awal namun tidak mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah.

Peguam mewakili Dr. Rushdi, Azmi Mohd. Rais (gambar) memberitahu anak guamnya selaku defendan tidak dapat hadir pada proses pelantiikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini. – SHIDDIEQIIN ZON

“Kami sudah mohon untuk bawa kes ini awal, tapi mahkamah tak benarkan (untuk Rushdi hadir).

“Hari ini, plaintif sudah melantik Rafeah Ariffin sebagai wakil JKP.

“Pihak kami juga sudah mengenal pasti wakil JKP Rushdi iaitu Syamsul Omar yang juga rakannya. Hari ini kami hanya ambil tarikh seterusnya bagi laporan JKP,” ujarnya.

Pada 21 April lalu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling bagi memfailkan permohonan perceraian selepas rumah tangga gagal menemui titik penyelesaian.

Sementara pada sebutan pertama 6 Mei lalu, Rushdi enggan melafazkan cerai terhadap Nora kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya.

Katanya, dia menyayangi Nora bahkan tidak mahu perceraian berlaku kerana perkara tersebut ditegah dalam Islam.

Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Dr. Rushdi.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok