PELAKON tersohor, Jackie Chan mendedahkan bapanya, Charles Chan pernah menjadi perisik untuk kerajaan China di bawah Nasionalis Kuomintang sekitar 1940-an.
Lebih mengejutkan apabila pelakon Hong Kong yang mencipta nama di Hollywood itu mengakui nama keluarganya juga bukan Chan, sebaliknya Fong.
Pendedahan tersebut dikongsikan dalam temubual bersama majalah People dengan menyatakan rahsia itu diceritakan ayahnya ketika mereka berada dalam kereta sewaktu umurnya 40 tahun.
Sambil menunjukkan foto zaman kecil bersama kedua-dua orang tuanya, Jackie, 71, memaklumkan ayahnya membongkar rahsia yang disimpan itu dalam keadaan tenang.
“Ayah saya kacak dan dia seorang perisik. Saya tahu pun ketika usia saya sekitar 40-an. Sesuatu yang saya sendiri tidak jangka.
“Suatu hari saya memandu kereta dan ayah duduk di sebelah. Tiba-tiba dia buka mulut. ‘Anakku, ayah sudah tua. Mungkin tidur yang tak bangun lagi. Ayah ada rahsia, awak bukan Chan, nama sebenar awak Fong’.
“Ketika itu saya terkedu. Sukar untuk mengolah semua benda yang muncul serentak secara tiba-tiba. Saya memang tidak pernah tahu sejarah silam ayah saya,” katanya dalam wawancara tersebut.
Menurut Chan, bapanya yang mempunyai nama asal Fang Daolong menyatakan dia melarikan diri ke Hong Kong pada tahun 1950-an untuk mengelakkan ditangkap kerajaan Komunis.
Kisah keluarga Chan pernah diangkat dalam dokumentari berjudul Traces of the Dragon: Jackie Chan and His Lost Family pada 2003.
Paparan tersebut membawa penonton menyusuri semula momen Charles ketika bertugas sebagai perisik pada era Perang Sivil.
Dokumentari yang mendapat kebenaran Jackie juga mendedahkan mengenai ibunya, Lee-lee, yang pernah terbabit dengan penyeludupan candu dan perjudian.
Kongsi Jackie mengimbas zaman kanak-kanaknya, ketika kecil dia selalu bergaduh yang mendorong bapanya menghantarnya ke kelas seni mempertahankan diri.
“Semasa kecil saya kanak kanak yang nakal dan kerap bergaduh dengan budak lain.
“Kalau ayah saya tahu, dia pukul saya dan pergi ke rumah kawan yang saya kasari untuk meminta maaf.
“Kemudian bapa yang mengesan kecenderungan saya dalam seni mempertahankan diri menghantar saya kelas selain galakkan saya terlibat dengan kumpulan opera yang menggunakan seni bela diri dalam persembahan.
“Disebabkan tiada duit untuk berhibur, cara kami berseronok adalah dengan ‘sparring’,” katanya.
Terjun ke arena lakonan sebagai stuntman untuk filem Bruce Lee, katanya aktor terbabit merupakan individu yang sangat baik dan menyukai dirinya.
Mengenai kawan baik pula, dia menganggap pelakon Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh sebagai sahabat susah senang.
“Saya kenal Michelle ketika dia menjadi Ratu Malaysia dan kami berlakon dalam satu iklan. Dia seorang yang berbakat, dan mahu melakukan semua aksi lagak ngeri sendiri.
“Dia adalah kawan baik saya. Saya akan sentiasa ada jika dia menghubungi saya. Dan dia sentiasa ada ketika dia menghubungi saya,” kongsinya. – HIBGLAM.